CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada Kabinet.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan itu bertujuan menggalakkan rakyat mengamalkan pemakanan sihat.
Beliau berharap cadangan itu dipertimbangkan memandangkan masih ramai rakyat, khususnya golongan muda yang kurang mengamalkan pemakanan seimbang.
“Saya akan membawa perkara ini sebagai satu pandangan, atau satu pertimbangan, ini semua adalah strategi menggalakkan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah beliau, usaha menjadikan makanan sihat lebih mampu milik dan mudah didapati adalah sebahagian daripada strategi pendekatan halus bagi mengubah gaya hidup rakyat.
“Tetapi persoalannya bagaimana kita boleh menggalakkan mereka supaya akhirnya lebih cenderung mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya.
SARA diperkenalkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah memperoleh barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan telur dengan harga yang berpatutan.
Setakat Sabtu lalu, lebih 13 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). – UTUSAN











