HULU TERENGGANU: Kesukaran hidup yang dilalui bukan halangan bagi seorang gadis dari Kampung Kuala Akob, di sini melanjutkan pengajian ke peringkat menara gading demi menggapai impian bergelar seorang pensyarah.
Puteri Nardiana Aleesya Mat Zakar, 19, yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik bakal bergelar penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) minggu depan.
Katanya, dia ingin memastikan impian dan cita-citanya tercapai sekali gus mampu mengubah nasib keluarganya kelak dan membalas segala pengorbanan ibu bapanya.
Menurutnya, bapanya, Mat Zakar Mat Saad, 62, tidak dapat bekerja sejak dia kecil kerana mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti jangkitan kuman pada paru-paru, lelah, kencing manis, darah rendah serta radang sendi.
“Hospital ibarat rumah kedua ayah kerana selalu ulang-alik untuk jumpa doktor dan mendapatkan rawatan. Sejak 23 hari lalu, ayah dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kerana komplikasi penyakit dialaminya.
“Emak, Zaitun Taib, 61 pula hidap penyakit saraf dan lelah sejak beberapa tahun lalu sehingga agak sukar untuk berjalan seperti orang biasa. Kami tinggal tiga beranak di sini, adik- beradik lain telah ada keluarga masing-masing.
“Wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan diterima digunakan kami sekeluarga. Kalau ikutkan memang tidak cukup, namun syukur ia tetap membantu,” katanya ketika ditemui sewaktu program Santunan Kasih Menara Ilmu Hulu Terengganu (SKMIHT).
Pada program berkenaan, Puteri Nardianayang sebelum ini belajar di Kolej Matrikulasi Pahang menerima surat tawaran belajar di UniSZA disampaikan Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam dan dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat.
Sementara itu, seorang lagi bakal penuntut UniSZA yang ditemui dalam program itu iaitu Muhammad Haikal Danial Dillah, 21, dari Kampung Chepoh berkata, program SKMIHT membuka peluangnya untuk terus menimba ilmu.
Menurutnya, memandangkan bapanya, Dillah Jusoh, 56, hanya bekerja sebagai jurukimpal, ia membataskan sumber kewangan baginya melanjutkan pengajian buat kali kedua.
“Saya berhasrat meminjam duit daripada adik- beradik untuk daftar nanti, adanya bantuan diterima melalui program ini membolehkan saya dapat mendaftar di UniSZA pada Sabtu ini,” ujarnya. – UTUSAN









