JOHOR BAHRU: Agenda untuk melahirkan generasi yang cemerlang dalam bidang teknologi dan kreativiti dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) merupakan agenda besar negara memperkasakan ekonomi digital.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, peranan yang didukung Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui penganjuran Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) merupakan inisiatif yang dilihat mampu menzahirkan hasrat tersebut.
Katanya, DICE telah berjaya membentuk ekosistem keusahawanan pelajar yang dinamik, selari dengan keperluan industri kreatif digital, sekali gus melahirkan usahawan muda berdaya saing di peringkat global.
“Ini antara satu pendekatan yang kita lakukan dalam usaha untuk melahirkan pemimpin kreatif (creativepreneurs) yang mampu menghasilkan kandungan digital yang kreatif dengan nilai komersial yang boleh kita bangunkan.
“Platform ini akan terus menjadi pemangkin kepada pelajar untuk menjadi pencipta pekerjaan (job creators) dan creativepreneurs selain memanfaatkan pengalaman yang diperoleh sebagai lonjakan ke arah penghasilan produk bertaraf dunia,” katanya selepas merasmikan DICE 3.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam.
Menurut Zambry, program DICE 3.0 yang menghimpunkan 320 pelajar dan pensyarah seluruh Malaysia termasuk Indonesia, Thailand dan Brunei turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Projek Pemula Digital Terbanyak oleh Pelajar dalam Program Antarabangsa.
Katanya, DICE 3.0 mempersembahkan sebanyak 64 projek kandungan digital kreatif meliputi animasi pendek, filem pendek, aplikasi interaktif media (VR/AR) dan aplikasi permainan digital.
Tambahnya, pengiktirafan tersebut mengangkat dan melahirkan bakat pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) supaya berdaya saing dalam menghasilkan kandungan digital kreatif.
“Ini merupakan satu kejayaan besar di peringkat kebangsaan apabila dimasukkan dalam MBOR, golongan muda ketika ini mempunyai nilai kreativiti yang begitu hebat.
“Pelajar yang terlibat diharapkan dapat memanfaatkan sepenuhnya pengalaman dan menjadikan DICE sebagai lonjakan pertama ke arah penghasilan produk digital kreatif bertaraf dunia,” ujarnya. – UTUSAN










