UniSZA lonjak 40 anak tangga, hampiri kelompok 100 terbaik Dunia

UniSZA lonjak 40 anak tangga, hampiri kelompok 100 terbaik Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencatat lonjakan membanggakan dalam agenda kelestarian global apabila naik 40 anak tangga ke kedudukan ke-109 dunia dalam UI GreenMetric World University Rankings 2026, berbanding kedudukan ke-149 pada tahun sebelumnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pencapaian itu meletakkan UniSZA hanya sembilan anak tangga daripada kelompok 100 universiti paling lestari di dunia, dalam penarafan yang tahun ini melibatkan 2,016 institusi dari seluruh dunia.

Di peringkat Asia, UniSZA turut mencatat peningkatan ketara apabila melonjak daripada kedudukan ke-80 pada 2025 kepada ke-57 pada 2026.

Di peringkat domestik pula, UniSZA mengekalkan kedudukan ke-9 daripada 1,249 institusi yang tersenarai dalam UI GreenMetric 2026, sekaligus menempatkan universiti itu dalam kelompok institusi terbaik negara dalam prestasi kelestarian.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam, berkata pencapaian itu membuktikan usaha memperkukuh agenda kelestarian universiti semakin membuahkan hasil, didorong oleh komitmen bersama seluruh warga universiti.

“Lonjakan daripada kedudukan ke-149 kepada ke-109 dunia bukan sekadar satu pencapaian dalam penarafan, tetapi mencerminkan usaha dan komitmen bersama seluruh warga UniSZA.

“Bagi UniSZA, kelestarian bukan hanya tentang kedudukan atau angka. Apa yang lebih penting ialah bagaimana prinsip kelestarian diterjemahkan dalam pembangunan universiti, pengurusan kampus, pendidikan, penyelidikan, inovasi serta hubungan kita dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, UniSZA akan terus memperkukuh agenda kelestarian sebagai sebahagian daripada ekosistem universiti, merangkumi pembangunan kampus, pendidikan, penyelidikan dan inovasi serta keterlibatan dengan masyarakat, selain menggalakkan penglibatan aktif seluruh pusat tanggungjawab (PTj), warga akademik, pentadbiran dan pelajar.

Menurut beliau, pencapaian berkenaan juga mencerminkan usaha universiti menjadikan pembangunan mampan sebahagian daripada amalan dan pengurusan institusi, bukan sekadar pencapaian dalam penarafan.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Lestari UniSZA, Prof. Madya Dr. Azman Azid, berkata peningkatan kedudukan tersebut turut disokong oleh kenaikan skor keseluruhan universiti daripada 8,400 mata pada 2025 kepada 8,587.5 mata pada 2026, iaitu peningkatan sebanyak 187.5 mata.

Beliau berkata, pencapaian itu memberikan asas kukuh untuk UniSZA terus memperbaiki prestasi melalui tindakan berimpak tinggi, pengukuhan eviden dan pengurusan data yang lebih sistematik.

“Kita bukan sekadar mahu mengumpul mata, tetapi mahu setiap inisiatif kelestarian membawa perubahan yang boleh dilihat dan diukur,” katanya.

Menurutnya, perkembangan penilaian yang turut merangkumi aspek Governance & Digitalization menunjukkan agenda kampus lestari kini semakin luas, melibatkan tadbir urus, pengurusan data dan penggunaan teknologi digital secara bertanggungjawab.

UI GreenMetric World University Rankings menilai prestasi institusi melalui aspek utama termasuk infrastruktur, tenaga dan perubahan iklim, sisa, air, pengangkutan, pendidikan dan penyelidikan, selain perkembangan baharu dalam tadbir urus dan pendigitalan.

Pencapaian itu memperkukuh kedudukan UniSZA dalam landskap kelestarian pendidikan tinggi global serta memperlihatkan komitmen universiti untuk menjadikan pembangunan mampan sebahagian daripada tadbir urus, pendidikan, penyelidikan dan inovasi, pendigitalan, operasi kampus serta keterlibatan komuniti.

FAKTA UTAMA — UI GREENMETRIC WORLD UNIVERSITY RANKINGS 2026

———————————————————————————————————–
Pencapaian Penarafan dunia

Penarafan dunia 2026 Ke-109
Penarafan dunia 2025 Ke-149
Perubahan Lonjak 40 anak tangga
Penarafan Asia 2026 Ke-57
Penarafan Asia 2025 Ke-80
Penarafan Malaysia Ke-9
Institusi dinilai 2,016 institusi daripada seluruh dunia
—————————————————————————————————–
Maklumat penarafan: UI GreenMetric World University Rankings 2026 – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN