Sistem demerit diperluas kepada ketua pengarah jabatan kerajaan mulai 2026

Sistem demerit diperluas kepada ketua pengarah jabatan kerajaan mulai 2026

SHAMSUL Azri Abu Bakar ketika ditemui di sidang akhbar Simposium Penilaian Strategik Setahun ARPA Tahun 2025 di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan sistem Demerit Performance Evaluation (DEEP) akan mula diperluaskan kepada semua ketua pengarah jabatan atau agensi kerajaan mulai tahun hadapan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, DEEP bukan bertujuan menghukum penjawat awam tetapi menjadi mekanisme untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

“Penilaian itu bukan sahaja mengambil kira aspek demerit apabila berlaku kesilapan, malah memberi re-merit jika pegawai menunjukkan prestasi baik atau mendapat pengiktirafan daripada masyarakat.

“Sebelum ini, pelaksanaan DEEP hanya kepada Ketua Setiausaha (KSU) agensi kerajaan, namun kini ia akan diperluaskan kepada ketua pengarah dan pengarah-pengarah perkhidmatan serta jabatan setiap agensi awam,” katanya ketika ditemui selepas Simposium Penilaian Strategik Setahun ARPA Tahun 2025, di sini hari ini.

Katanya, perluasan itu selaras dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) bagi memastikan tadbir urus kerajaan lebih berkesan dan peningkatan prestasi yang menyeluruh dalam setiap peringkat perkhidmatan awam.

Shamsul Azri berkata, keputusan penilaian DEEP juga memberi kesan kepada kenaikan gaji tahunan kerana ia dibuat berdasarkan prestasi sebenar.

“Sistem ini akan memberi impak kepada kenaikan gaji tahunan. Jika seseorang pegawai tidak menunjukkan prestasi baik, maka tiada kenaikan gaji. Namun DEEP bukan bertujuan menghukum, sebaliknya untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif ARPA, Skuad Pemantau atau Flying Squad ARPA akan ditubuhkan sebagai langkah pemantauan yang lebih kreatif, terselaras dan berkesan.

“Skuad pemantau khas ini akan menjalankan pemantauan di lapangan melalui mystery shopping bagi menilai kualiti perkhidmatan, tahap pematuhan peraturan serta mengumpul maklumat mengenai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

“Pasukan ini juga akan diterajui bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Unit Pantau Madani,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN