HELSINKI: Finland mengekalkan gelaran sebagai negara paling bahagia di dunia untuk tahun kelapan berturut-turut, hasil sistem sokongan sosial kukuh, pendidikan percuma, kesihatan dijamin, serta keseimbangan kerja dan kehidupan yang tinggi, menurut World Happiness Report 2025.
Di tangga kedua, Denmark menonjol dengan sistem kebajikan mantap, pendidikan dan kesihatan percuma, serta suasana kerja fleksibel yang membolehkan rakyat menikmati kehidupan seimbang antara kerjaya dan keluarga.
Iceland pula dikenali dengan komuniti rapat dan sosial yang kuat, memberikan tahap keselamatan dan kesejahteraan mental yang tinggi.
Keadaan ini menjadikan kehidupan harian rakyatnya lebih tenang dan stabil, sekali gus menjadi negara ketiga paling bahagia di dunia.
Sweden dan Netherlands turut berada dalam senarai 10 negara teratas dengan Sweden mengekalkan sistem sosial teratur dan tahap kebebasan individu yang tinggi, manakala Netherlands menonjol dengan infrastruktur moden, sistem pengangkutan efisien, serta keseimbangan kerja-hidup yang baik.
Costa Rica mengejutkan ramai kerana tersenarai di kalangan negara paling bahagia, walaupun bukan negara kaya atau Nordik.
Budaya kukuh, komuniti rapat, serta komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan sosial dan alam sekitar menjadi faktor utama.
Norway, Luxembourg, Switzerland dan Australia turut disenaraikan, dengan kelebihan masing-masing termasuk sumber semula jadi yang kaya, pendapatan per kapita tinggi, kestabilan ekonomi dan politik, sistem pendidikan dan kesihatan berkualiti, serta persekitaran semula jadi yang menarik.










