MIAMI: Rahsia kebahagiaan rumah tangga bagi pasangan warga emas dari Miami, Florida yang kini memegang gelaran pasangan paling lama berkahwin di dunia ternyata mudah sahaja, iaitu saling menyayangi antara satu sama lain.
“Kami saling mencintai,” kata Eleanor Gittens, 107, ketika ditemu bual oleh laman LongeviQuest, sebuah portal yang mengkhusus dalam kisah warga berusia lebih 100 tahun.
Suaminya, Lyle Gittens, 108, pula tersenyum dan berkata dia mencintai isterinya.
Kenyataan penuh kasih itu diberikan selepas LongeviQuest mengesahkan secara rasmi pasangan berkenaan merupakan pasangan paling lama berkahwin di dunia, berdasarkan sijil perkahwinan mereka bertarikh 1942, rekod bancian Amerika Syarikat (AS) serta bahan arkib yang disemak silang oleh Suruhanjaya Pengesahan Global organisasi tersebut.
Menurut laporan bertarikh 4 November, pasangan Gittens mengambil alih gelaran itu selepas pemegang rekod sebelumnya, Manoel Angelim Dino, 106, dari Brazil meninggal dunia pada Oktober lalu dengan usia perkahwinan mencecah 85 tahun.
Bagi Lyle dan isterinya, dengan jumlah usia mencecah lebih 216 tahun, mereka bukan sahaja disahkan sebagai pasangan paling lama berkahwin, malah pasangan tertua dalam sejarah setakat ini.
Kisah cinta mereka bermula pada tahun 1941, ketika Lyle bermain untuk pasukan bola keranjang Universiti Clark Atlanta dan Eleanor hadir sebagai penonton.
Setahun kemudian, mereka memutuskan untuk berkahwin walaupun sedar Lyle bakal dipanggil berkhidmat dalam Perang Dunia Kedua dan pasangan itu disatukan pada 4 Jun 1942 selepas dia mendapat cuti tiga hari daripada kem latihan tentera di Georgia.
Tidak lama selepas perkahwinan, Lyle dihantar berkhidmat ke Itali bersama Divisyen Infantri ke-92 Tentera AS dan ketika itu, Eleanor yang mengandung anak pertama mereka berpindah ke New York serta bekerja dalam bahagian gaji di sebuah kilang alat pesawat.
Selepas perang tamat, pasangan itu membina kehidupan baru di New York di mana mereka lulus peperiksaan perkhidmatan awam serta berkhidmat dalam sektor kerajaan dan setelah bersara, berpindah ke Miami supaya dekat dengan anak perempuan mereka, Angela.
“Saya gembira berada di sini. Kami masih menikmati masa bersama dan sudah melalui banyak perkara berdua,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di saluran YouTube LongeviQuest.










