Showcase ini seperti mimpi buat saya - Aisha Retno - Utusan Malaysia

Showcase ini seperti mimpi buat saya – Aisha Retno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terharu melihat sambutan peminat yang membanjiri showcase sulungnya pada Sabtu lalu, penyanyi, Aisha Retno gagal menahan sebak atas sokongan yang diterima biarpun melalui fasa pahit pada November tahun lalu.

Menurut Aisha, dirinya hampir berputus asa malah nekad untuk meninggalkan industri muzik selepas tragedi pembatalan konsert Malam Sutera Aisha Retno, tahun lalu.

“Saya rasa showcase ini seperti mimpi buat saya. Selepas pembatalan konsert pada tahun lalu, saya nekad mahu berhenti menyanyi dan fokus untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang ekonomi di Universiti Malaya.

“Tetapi mengenangkan peminat-peminat yang sentiasa menyokong dan berada di belakang saya sepanjang lima tahun dalam industri, saya rasa sayang mahu tinggalkan apa yang sudah diusahakan selama ini,” katanya pada malam Showcase The A.I.S.H.A Experience, kelmarin.

Melihat kejayaan konsert anjuran LOL Asia itu, penyanyi lagu Tak Adil tersebut mengakui tidak berbaloi jika dirinya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri sebaliknya yakin dengan aturan Sang Pencipta.

“Saya rasa sangat berbaloi tidak berhenti menyanyi kerana saya yakin Allah ada jalan-Nya sendiri. Jadi, saya sentiasa percaya dan belajar dari tragedi besar tahun lepas.

“Saya belajar bahawa semua ini perjalanan daripada Allah. Jadi, kita ikut sahaja apa yang Allah nak pandu kita,” jelasnya.

Tambah Aisha, kejayaan showcase tersebut juga menjadi pemangkin semangat untuk dirinya kekal kuat untuk melalui asam garam sebagai penghibur.

Malah, kebangkitan itu juga mendorong dirinya untuk muncul dengan sebuah album dalam bentuk fizikal buat peminat setia usai konsert tersebut.

“Akhirnya terjadi juga misi untuk menjayakan sebuah showcase walaupun bukan skala besar tapi saya bersyukur kerana penuh dibanjiri peminat.

“Insya-Allah orang dapat lebih mengenali saya lagi supaya yang cakap saya tidak layak buat konsert kenal saya lebih mendalam. Dengan kejayaan showcase ini, saya juga mempunyai perancangan untuk membuat jelajah di seluruh Malaysia termasuk Borneo.

“Itu misinya buat masa sekarang dan Insya-Allah saya juga akan lancarkan album fizikal akhir tahun ini,” kongsinya.

Sabtu lalu, Aisha tampil bertenaga menghiburkan hampir 1,000 penonton ketika beraksi di showcase sulungnya, The A.I.S.H.A Experience dengan lagu-lagu hitsnya seperti W.H.U.T, Pencarianku, Sutera, Samudera dan Jeda.

Aisha juga menyanyikan beberapa lagu terbaharunya yang bakal dilancarkan dalam albumnya tidak lama lagi iaitu Semoga Saja, Menunggu Senja, Titik Temu dan Nails Done.

Showcase tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi jemputan seperti Aizat Amdan, Megat Fazly, Liza Hanim, Lucidrari dan Sya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN