PETALING JAYA: Bahagia menjalani kehidupan sebagai suami isteri, pelakon, Fattah Amin menyifatkan dirinya mempunyai pemikiran yang sama dengan Amira Othman dalam perihal agama dan tujuan hidup.
Menurut Fattah, dia juga seronok membahaskan dua perkata itu bersama isterinya selain meletakkannya sebagai tunggak utama dalam institusi perkahwinan.
“Kami suka bercakap tentang agama dan tujuan hidup. Pemikiran kami berdua sama. Apa yang kami percaya, apa yang kami fikirkan, apa yang kami cakap, semua itu sama.
“Rasa seronok bila kami cakap benda yang sama. Apa-apa pun agama nombor satu. Bila nak berpasangan ini memang agama dan tujuan hidup perlu diutamakan.
“Kalau dua perkara ini tidak selari, benda-benda lain tidak akan selari juga. Kuncinya kena sama,”
Fattah berkata demikian ketika siaran langsung menjual produk Rissa Skin dan abaya Amira di TikTok, pada malam Isnin.
Terdahulu, Fattah dan Amira sah bergelar suami isteri dengan sekali nafas dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Golden Palm Tree Resort, Sepang.
Acara akad nikah itu telah disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dan disaksikan oleh keluarga dan kenalan rapat.-UTUSAN