Serah calon PM dari PN kepada Majlis Presiden

Serah calon PM dari PN kepada Majlis Presiden

pru15
NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Semua pihak dalam Perikatan Nasional (PN) perlu menghentikan polemik berhubung siapa yang bakal diangkat sebagai calon Perdana Menteri, sebaliknya menye­rahkan perkara itu sepenuhnya kepada Majlis Presiden gabu­ngan berkenaan.

Ahli Majlis Pimpinan Ter­tinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Noh Omar berkata, hirarki kepemimpinan dalam PN telah menetapkan bahawa keputusan besar termasuk penentuan Perdana Menteri dan Menteri Besar hanya boleh diputuskan melalui perbincangan Majlis Presiden yang dianggotai Bersatu, Pas dan Gerakan.

Katanya, keutamaan kini seharusnya diberikan kepada usaha mengukuhkan jentera parti bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), bukannya menimbulkan pertikaian sesama sendiri.

“Bagi saya, yang penting adalah kemenangan dahulu. Apabila sudah menang, barulah kita berbincang siapa calon Perdana Menteri atau Menteri Besar. Semua itu ada saluran dan hirarkinya. Kita kena patuh dengan keputusan ketua dan Majlis Presiden.

“Tidak kisahlah daripada parti mana pun, asalkan keputusan itu dimuktamadkan secara bersama, kita wajib memberi sokongan penuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Isu calon Perdana Menteri PN kembali hangat apabila Muktamar Tahunan Pas Ke-71 yang berakhir Selasa lalu, meluluskan usul mahu parti itu memimpin PN menjelang PRU16, sedangkan Bersatu sebelum ini menamakan Pre­sidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Ke-11.

Percanggahan tersebut men­cetuskan pertikaian dalam kalangan kepemimpinan Bersatu dan Pas dalam menentukan poster boy mereka apabila antara pemimpin masing-ma­sing dilihat membuat kenya­taan menjatuhkan antara satu sama lain.

Bagaimanapun, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang yakin situasi melibatkan kenyataan-kenyataan dikeluarkan oleh pimpinan setiap parti hanyalah panda­ngan peribadi dan tidak menentukan pendirian parti.

“Bagi saya, kita ada Majlis Presiden. Apa juga pandangan diberikan, saya rasa itu adalah peribadi. Saya yakin nanti majlis presiden paling utama yang akan membuat pilihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN