SONGKHLA, THAILAND: Senjata api jenis rifel M4 yang cuba diseludup ke Malaysia dipercayai untuk kegunaan sindiket pengedaran dadah.
Sumber dari pasukan Keselamatan Thailand memberitahu, rakyat Malaysia yang ditahan bersama senjata api berkenaan serta ratusan butir peluru di Danok, Sabtu lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan.
Sumber itu berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 42 tahun itu mempunyai kaitan dengan sindiket dadah yang aktif di sempadan.
Penahanan tersebut dilakukan dalam satu sekatan jalan raya oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao pada jam 5.35 petang, sebelum pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan sepucuk M4 bersama ratusan butir peluru.
Daripada siasatan awal, lelaki itu mengaku dia memasuki Thailand pada 29 Ogos, selepas melalui Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao dan menginap di sebuah hotel di Daerah Sadao untuk menikmati kehidupan malam.
“Namun pada pagi 30 Ogos, dia menerima pesanan WhatsApp daripada rakannya yang dikenali sebagai ‘Ah Jian’, juga warga Malaysia, supaya mengambil beberapa barang di Wat Pa Ko Suwannaram di Daerah Na Mom, kira-kira 58 kilometer dari Danok.
“Apabila tiba, suspek mendakwa seorang lelaki Thai yang tidak dikenali memandu pikap, meletakkan beg senjata api di dalam kenderaannya.
“Selepas itu, mereka bersurai tanpa perbincangan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sumber itu memberitahu, lelaki terbabit kemudian memandu pulang ke Sadao untuk menghantar senjata api berkenaan kepada rangkaian ‘Ah Jian’ di Malaysia namun gagal apabila ditangkap pihak berkuasa negara ini.
Katanya, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan menyeluruh untuk mencari dalang rangkaian penyeludupan senjata rentas sempadan secepat mungkin.
Ujarnya, suspek akan didakwa memiliki senjata api dan peluru secara haram serta menggunakan pil kuda selain memandu di bawah pengaruh dadah.
“Kita tidak menolak kemungkinan senjata api berkenaan akan diseludup melalui jalan hutan di sempadan Kedah-Thailand atau Perlis-Thailand. Tidak mungkin benda yang paling berbahaya itu hendak dibawa masuk melalui pusat pemeriksaan rasmi seperti di Bukit Kayu Hitam,” katanya. – UTUSAN










