PETALING JAYA: Semua negara khususnya kuasa besar perlu tampil memberi sokongan termasuk daripada segi keselamatan terhadap misi Gaza Sumud Flotila (GSF) yang kini menuju ke Gaza untuk meneruskan misi kemanusian.
Meskipun bersyukur apabila satu demi satu negara tampil memberi sokongan terhadap misi kemanusiaan itu, tetapi rakyat Malaysia menyertai GSF berharap usaha tersebut mendapat sokongan negara lain agar dapat memecahkan sekatan ke atas Gaza.
Terbaharu, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menghantar kapal tentera bagi memastikan keselamatan bot bantuan kemanusiaan GSF tidak diserang dron Israel, selepas kerajaan Itali terlebih dahulu bersetuju menghulurkan bantuan ketenteraan.
Peserta misi, Rahmat Ikhsan Mohamad Sofyan bersama lebih 400 aktivis menyifatkan bantuan itu sebagai suntikan semangat buat mereka untuk meneruskan pelayaran.
“Kami amat bersyukur dengan sokongan ini dan berharap Turkiye serta Perancis turut sama menyertai usaha ini bagi memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza,” katanya dalam media sosial beliau.
Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto sebelum ini mengumumkan negara itu menghantar sebuah frigat tentera laut sebagai langkah sokongan kepada flotilla berkenaan yang menjadi sasaran serangan dron pada 24 September lalu.
Seorang lagi aktivis, Heliza Helmi menerusi hantaran di Instagram turut menzahirkan kesyukuran kerana semakin banyak negara barat mengiktiraf perjuangan flotila dan kedudukan Palestin sebagai sebuah negara.
“Kekuatan kita dengan berdoa, mudah-mudahan kita dapat pecahkan tembok kepungan di Gaza. Kita dah semakin hampir (bebas), dah hampir sangat. Semoga Palestin bebas dan merdeka,” katanya.
Menurutnya, selepas 48 jam berada di lautan akibat kerosakan pada kapal, akhirnya bot flotila yang dinaikinya selamat meneruskan pelayaran menuju ke Gaza.
“Pada mulanya kapal penyelamat tiba untuk memeriksa kerosakan pada bot dan jika tidak dapat dibaiki, besar kemungkinan pasukannya perlu berpatah balik.
“Bagaimanapun, kapal berjaya dibaiki meskipun diuji dengan ombak yang sangat kuat dan kini kembali memulakan pelayaran mengejar flotila lain,” katanya.
Jelas Heliza, walaupun terdapat serangan dron semalam, kesemua aktivis tetap sepakat untuk meneruskan misi kemanusiaan itu sehingga bantuan berjaya disalurkan. – UTUSAN










