KOTA KINABALU: Krisis air di Sabah berpunca daripada sembilan kontrak khidmat luar (outsource) 58 loji rawatan air (LRA) sejak 2008 adalah berat sebelah dan merugikan kerajaan negeri kerana tiada klausa penalti, walaupun syarikat gagal menepati syarat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum, Arunarnsin Taib berkata, maka tuduhan dibuat Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir yang cuba menyalahkan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal sebagai punca krisis air adalah tidak berasas.
Katanya, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019, kontrak diberikan kepada syarikat baharu yang tiada pengalaman, di mana ada yang berusia setahun ditubuhkan mendapat kontrak selama 20 tahun.
“Wujud konflik kepentingan termasuk syarikat milik saudara pegawai kanan jabatan air yang terpalit dalam skandal rasuah RM114.5 juta.
“Penyenggaraan direkodkan secara lump sum (sekali bayar) tanpa butiran kos yang telus, selain tiada minit mesyuarat dapat dikemukakan apabila diminta oleh auditor,” katanya dalam kenyataan.
Arunarnsin berkata, LKAN merekodkan peningkatan prestasi selepas kontrak bermasalah itu ditamatkan pada 2019 termasuk pengurangan pelanggaran kualiti air.
Katanya, mana lebih sahih sama ada LKAN atau dakwaan bermotif politik dibuat Suhaimi.
“Jika dakwaan beliau itu benar, adakah itu bermakna laporan audit Kerajaan Malaysia salah atau Suhaimi sedang mempertikai integriti Ketua Audit Negara sendiri.
“Rakyat perlu tahu bahawa krisis air di Sabah hari ini bukan kerana keberanian Warisan menamatkan kontrak kroni tetapi kegagalan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sendiri, menangani masalah asas yang melebihi 50 peratus dan projek air yang masih tidak bergerak,” katanya. – UTUSAN








