Malaysia bakal berdepan krisis sumber air?

Malaysia bakal berdepan krisis sumber air?

PEMANASAN global, pertambahan penduduk dan sumber air terganggu mendedahkan Malaysia terhadap krisis sumber air. Cuaca panas turut menyumbang risiko itu seperti yang berlaku di sungai berdekatan Stesen Pam Kemubu, Ketereh, Kelantan kering . – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas ramalan mengenai beberapa bandar di negara ini bakal tenggelam susulan kenaikan paras air laut tidak sampai 30 tahun dari sekarang, Malaysia berdepan satu lagi ancaman iaitu krisis sumber air.

Kesukaran membekalkan sumber air kepada penduduk itu bakal berlaku jika langkah perlindungan kawasan tadahan air tidak dilakukan segera dan terus dibiar diganggu.

Perkara tersebut dibuktikan melalui kajian Sumber Air Kebangsaan (2010-2050) oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang diperoleh Utusan Malaysia, bagi melihat jangkaan situasi pada 2050 terhadap bekalan sumber alam tersebut.

Utusan Malaysia difahamkan ramalan tersebut dibuat dengan mengambil kira peningkatan populasi rakyat Malaysia pada 2050, selain jumlah taburan hujan dan air yang terhasil serta mengkaji keberadaan air untuk memenuhi permintaan pada masa akan datang.

Melihat kepada jumlah populasi penduduk Malaysia sejak 2010 hingga 2020, ia menyaksikan negara mengalami penambahan populasi sekurang-kurangnya lima juta orang setiap 10 tahun dan pada ketika ini jumlah tersebut bagi suku pertama 2023 adalah 33.2 juta.

Jadi apabila populasi penduduk Malaysia terus meningkat, permintaan terhadap bekalan air juga akan meningkat bagi memenuhi keperluan domestik, industri, pertanian dan lain-lain.

Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Nurhidayu Abu Bakar berkata, antara penyebab situasi tersebut mungkin terjadi adalah kesan daripada keadaan cuaca yang panas secara berterusan serta kurangnya hujan dalam tempoh masa yang panjang sehingga meningkatkan kadar evaporasi permukaan tasik di kawasan tadahan.

Menurut beliau, proses evaporasi tanah berpotensi mengurangkan kelembapan tanah dan disebabkan kurang jumlah hujan sejak awal 2023, ia turut menyebabkan kadar simpanan air berkurang lalu menjejaskan fungsi kawasan-kawasan tadahan.

“Sekiranya kawasan tadahan air yang terdiri daripada hutan tidak terganggu, maka fungsinya dapat dimaksimumkan kerana proses penghasilan air berlaku secara seimbang walaupun semasa musim kering atau dalam tempoh kurangnya hujan kerana berupaya menyimpan air pada paras tinggi lalu dilepaskan secara perlahan-lahan pada tempoh kurang hujan.

“Sebarang gangguan terhadap hutan tadahan air akan berpotensi memberi kesan terhadap keseimbangan tersebut dan menjejaskan simpanan seterusnya mengurangkan jumlah air terhasil semasa musim kering.

“Walau bagaimanapun, situasi ini bergantung pada keluasan kawasan tadahan, jumlah hujan diterima, jenis tanah dan batuan, bentuk muka bumi tadahan dan lain-lain faktor yang unik bagi setiap kawasan tadahan air,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pakar Hidrologi Hutan itu berkata, walaupun Malaysia hanya fokus kepada penggunaan air permukaan seperti sungai dan masih tidak menggunakan sumber air bawah tanah secara besar-besaran, sekiranya tiada usaha strategik bagi menguruskan guna tanah secara baik serta mitigasi kesan perubahan iklim maka negara juga akan mengalami kesukaran memenuhi permintaan bekalan air di masa depan.

“Walaupun terdapat usaha untuk menjaga kawasan tadahan air ini, kita tetap masih perlukan kaedah atau strategi khusus dari segi pengurusan kawasan tersebut bagi menyelesaikan kemelut ini dari peringkat dasar dan polisi sehingga ke perancangan bandar.

“Perhatian perlu diberikan kepada penyelesaian jangka panjang secara pendekatan tidak berstruktur seperti konservasi kawasan tadahan sebagai ‘natural reservoir’.

“Pengurusan bandar boleh menggunakan kawasan tadahan sebagai unit mengurus dan memastikan sekurang-kurangnya sebahagian dari kawasan tersebut dikekalkan sebagai kawasan semula jadi. Ini bagi membantu keseimbangkan air di peringkat keseluruhan kawasan itu tidak kira musim basah atau kering.

“Sekiranya tiada kawasan semula jadi, kawasan ini perlu diwujudkan melalui aktiviti-aktiviti restorasi dan perlu juga digazetkan untuk melindungi kawasan ini,” katanya.
Tambahnya, pengumpulan dan penyimpanan air di hilir sungai perlu juga dilakukan dengan menyediakan fasiliti-fasiliti yang bersesuaian bagi membantu menyelesaikan kekurangan air pada musim kering.

“Sudah tiba masanya juga garis panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang digariskan oleh JPS diambil dengan serius dan diguna pakai oleh setiap sektor bagi meningkatkan kawasan yang boleh telap air lalu meningkatkan simpanan sumber keperluan itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN