Segerakan pemulihan runtuhan tebing di Batu Rakit

Segerakan pemulihan runtuhan tebing di Batu Rakit

KEADAAN terkini struktur benteng baharu yang siap dibina telah runtuh kembali malam tadi di Jalan Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak segera dan lebih tegas dalam memantau serta menyegerakan kerja-kerja pemulihan susulan kejadian runtuhan struktur tebing pantai di Batu Rakit, dekat sini.

Insiden yang berlaku di lokasi projek pembaikan jalan bernilai RM4.95 juta itu menimbulkan kebimbangan penduduk setempat, apatah lagi ketika musim tengkujuh dijangka tiba dalam masa terdekat.

Ketua Penerangan DPPNT, Mohd. Ridhuan Abdul Karim berkata, walaupun kemajuan projek sebelum ini dilaporkan mencapai 99 peratus, kejadian runtuhan sepanjang kira-kira 50 meter itu menimbulkan persoalan serius terhadap tahap pemantauan dan kualiti kerja pembinaan.

“Kami memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar. Projek ini perlu dipantau secara rapi dan kontraktor bertanggungjawab mesti mematuhi piawaian tertinggi dalam kerja pemulihan yang sedang dan akan dijalankan,” katanya hari ini.

Menurutnya, sebagai Pegawai Penguasa (S.O) di tapak, JKR memikul tanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan setiap aspek kerja pembinaan memenuhi spesifikasi serta jadual yang telah ditetapkan.

“JKR perlu lebih tegas dan memastikan kerja-kerja pembaikan dan pengukuhan semula dilakukan dengan teliti. Struktur jalan dan benteng pantai perlu benar-benar kukuh bagi menghadapi cabaran cuaca ekstrem ketika musim tengkujuh nanti,” katanya.

Mohd. Ridhuan turut menegaskan bahawa DPPNT akan terus memantau perkembangan projek berkenaan dan akan memberi teguran membina demi kepentingan rakyat.

“Isu ini bukan perkara kecil. Setiap sen wang rakyat mesti dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab dan hasilnya perlu memberikan jaminan keselamatan yang menyeluruh,” katanya.

Katanya, langkah pemulihan perlu dipercepat bukan sahaja untuk memastikan projek disiapkan sebelum musim hujan, malah bagi memastikan ia bertahan lama serta selamat digunakan dalam apa jua keadaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN