Saya tidak layak jadi PM - Abdul Hadi

Saya tidak layak jadi PM – Abdul Hadi

ABDUL Hadi Awang bersalaman dengan Muhyiddin Yassin pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kompleks Pas Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara terbuka me­ngatakan dirinya tidak layak menjadi Perdana Menteri atas faktor usia dan kesihatan, sebaliknya hanya sesuai sebagai penasihat kepada kepemimpinan parti sahaja.

Katanya, seseorang yang mahu dicalonkan sebagai Perdana Menteri mesti sihat tubuh badan dan berusia bawah 70 tahun.

Katanya, Pas memiliki ramai calon yang memenuhi kriteria itu untuk diketengahkan, tetapi bukan dirinya yang sudah berusia lebih 70 tahun.

“Seperti saya ini, tidak layak dah. Sudah 70 tahun ke atas, layak jadi penasihat sahaja. Pas ada panduan dalam memilih calon Perdana Menteri. Mesti berilmu, berintegriti dan sihat tubuh badan,” katanya.

Abdul Hadi yang kini berusia 77 tahun memimpin Pas sejak 2002. Pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-71, semalam, Abdul Hadi turut mengesahkan Pas terbuka bekerjasama dengan MCA dan MIC dalam kerangka Perikatan Nasional (PN) asalkan parti tersebut tidak membawa pendekatan ekstrem.

Katanya, perbincangan awal mengenai kerjasama itu sudah diadakan bersama pimpinan kedua-dua parti berkenaan.

Abdul Hadi turut menyuarakan keyakinan bahawa momentum kemenangan Pas dan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berterusan menjelang PRU16.

“Kita lihat sokongan anak muda sangat baik. Dalam PRU15, kita kuasai kerusi terbanyak di Perak dan Pahang, malangnya UMNO tidak mahu bekerjasama, sebaliknya memilih DAP. Jika kerjasama itu berlaku, Pas atau PN sudah boleh bentuk kerajaan negeri tersebut,” katanya.

Terdahulu dalam ucaptama, Abdul Hadi berkata Pas menggariskan sasaran menawan tiga negeri, Pahang, Perak dan Selangor pada PRU16 bagi mengukuhkan kedudukan PN di peringkat negeri dan Parlimen selepas kejayaan besar parti dalam PRU15 apabila menguasai

Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, selain meraih jumlah Ahli Parlimen tertinggi berbanding parti lain, di samping melonjakkan pencapaian di negeri selatan dan Sabah.

“Pada PRU15 Pas mencapai kejayaan yang terbesar sejak penubuhannya apabila berkuasa memerintah empat kerajaan negeri dan mendapat jumlah terbesar Ahli Parlimen dibandingkan dengan parti lain.

“Maka, kita wajib mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang telah berjaya. Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang telah dikuasai oleh Pas dan PN ialah ‘Negeri Pangkalan’ yang wajib dipertahankan,” katanya.

Abdul Hadi berkata, sayap Pemuda dan Muslimat Pas bertanggungjawab mengekalkan sokongan anak muda dalam PRU16 dan perlu agresif menggerakkan program yang dekat dengan jiwa golongan itu merentasi batas politik dan kaum.

“Medan pertemuan perlu dipelbagaikan agar kelompok penting ini dapat didekatkan dengan perjuangan Islam, sekali gus mengukuhkan sokongan menjelang pilihan raya.

“Pemuda dan Muslimat juga hendaklah menonjolkan lebih ramai tokoh yang menjadi suara rakyat dan ikon kepada anak muda.

“Mesti terhadapan da­lam memperjuangkan isu masyarakat yang mampu mempengaruhi arus pemikiran dan membimbing generasi muda yang semakin pantas berubah,” katanya.

Katanya, pendekatan itu mesti disusun rapi dan berimpak tinggi, sama ada melalui keterlibatan dalam kerajaan negeri ataupun membuktikan jaminan hak beragama kepada mereka tidak akan tergugat di bawah kepimpinan Pas.

Pas juga katanya, bersedia mengemudi negara serta menampilkan calon Perdana Menteri daripada parti itu sekiranya diberi mandat pada PRU akan datang dan mentadbir dengan berpaksikan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan pentafsiran Islam yang sebenar tanpa meminggirkan kepentingan kaum lain dalam masyarakat majmuk.

Katanya parti sama sekali tidak akan meminggirkan hak dan kepentingan kaum lain selaras dengan konsep masyarakat majmuk.

“Semua pihak perlu percaya bahawa hanya Islam agama yang sempurna, adil dan rahmat yang dapat menyatukan masyarakat majmuk dengan harmoni dan selamat.

“Inilah komitmen yang akan terus dipegang oleh Pas sebagai suatu janji kepada rakyat bukan Islam iaitu Islam mendahulukan perdamaian dan persaudaraan, tanpa paksaan dalam beragama walaupun Islam berkuasa sepenuhnya,” katanya.

Muktamar Tahunan Pas Ke-71, semalam turut dihadiri, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN