Sanusi kekal AJK Pas Pusat, Shahidan muka baharu - Utusan Malaysia

Sanusi kekal AJK Pas Pusat, Shahidan muka baharu

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor bersalaman bersama Ahmad Fadli Shaari selepas diumumkan keputusan Pemilihan AJK Pas Pusat 2025-2027 pada Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kekal sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat bagi sesi 2025-2027 setelah menerima 1,062 undi daripada perwakilan sempena Muktamar Pas Ke-71, hari ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu berada di kedudukan kedua selepas Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadli Shaari yang mendapat 1,096 undi diikuti muka baharu, Dr. Haim Hilman Abdullah yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah di tangga ketiga dengan 1,028 undi.

Turut kekal ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud yang mendapat 897 undi, namun cubaan Menteri Besar Perlis,

Mohd. Sukri Ramli untuk berada dalam senarai tidak berjaya apabila tewas dalam pemilihan kali ini.

Pada Jun lalu, Mohd. Sukri turut gagal merebut jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Arau. Bagaimanapun, Perlis masih mempunyai wakil apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menang dengan 717 undi.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kembali berada dalam senarai apabila mendapat 713 undi. Anak bekas Mursyidul Am Pas itu tewas dalam pemilihan pada 2021 dan tidak bertanding dua tahun kemudian.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga anak Presiden Pas turut mengekalkan jawatannya dengan meraih 1,018 undi, di samping Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin.

AJK lain yang kekal ialah Datuk Azman Ibrahim mendapat 868 undi, Dr. Halimah Ali (866), Datuk Siti Zailah Mohamad Yusof (865), Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaari (854) dan Datuk Ahmad Amzad Hashim (802).

Turut diumumkan kekal ialah Datuk Dr. Mohd. Fadzli Hassan (731), Dr. Riduan Mohamad Nor (721) dan Datuk Awang Hashim (688) manakala dua lagi yang melengkapkan pemilihan 18 AJK Pas Pusat ialah Datuk Mumtaz Md. Nawi dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Ketua Jawatankuasa Pemilih, Wan Rohimi Wan Daud berkata, seramai 1,220 perwakilan mengundi dalam pemilihan itu sementara 131 pemilih tidak mengundi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN