PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat pemindahan kekal (PPK) di lima negeri mencatat sedikit penurunan kepada 2,486 orang setakat pukul 2 petang.
Angka itu menunjukkan penurunan berbanding lebih 3,000 mangsa direkodkan pagi tadi membabitkan negeri Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.
Menurut Portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 758 keluarga ditempatkan di 24 PPS di lima negeri.
Sabah masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 2,094 mangsa daripada 615 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS yang dibuka di enam daerah.
Di Sarawak, jumlah mangsa banjir direkodkan seramai 177 orang membabitkan 73 keluarga dengan sebanyak dua PPS melibatkan dua daerah.
Sementara itu, Selangor mencatatkan 115 daripada 38 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.
Bagi Negeri Sembilan pula, sebanyak satu PPS dibuka untuk menempatkan 74 mangsa banjir daripada 20 keluarga yang terjejas.
Perak pula mencatatkan penurunan seramai 26 mangsa banjir daripada 12 keluarga. Kesemua mereka ditempatkan di tiga PPS yang dibuka. – UTUSAN










