KOTA KINABALU: Seramai 190 penduduk dari empat kampung di Beaufort, yang kediaman mereka terjejas banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Slagon yang diaktifkan malam tadi.
Mengikut info Pusat Kawalan Bencana Sabah, mangsa membabitkan 75 ketua isi rumah dari kampung yang terjejas itu dipindahkan jam 10.30 malam.
Difahamkan, banjir yang melanda empat kampung di Beaufort itu berlaku berikutan kejadian hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu.
“Mangsa dipindahkan ke PPS Slagon dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) menggunakan jentera yang mampu mengharungi paras air yang tinggi.
“Setakat ini, tiada pertambahan jumlah mangsa dipindahkan, manakala keadaan kampung yang terjejas masih belum boleh didiami memandangkan paras air tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, cuaca di beberapa daerah di negeri ini, berada dalam keadaan tidak menentukan dalam beberapa hari.
Jabatan Metrologi Sabah meramalkan, hujan dan ribut petir kerap berlaku di hampir semua kawasan di negeri ini, termasuk Beaufort yang sedang dilanda banjir.
Sehubungan itu, penduduk terutama yang mendiami kawasan yang mudah dinaiki air dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan pindah ke tempat selamat apabila ada tanda paras air meningkat. – UTUSAN










