RM550,000 kos baiki kerosakan bangunan akibat gempa bumi Segamat

RM550,000 kos baiki kerosakan bangunan akibat gempa bumi Segamat

AHMAD Maslan (tengah) meninjau Kuarters Polis Daerah Segamat yang terkesan akibat gempa bumi lemah di Segamat baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kerosakan kecil melibatkan 15 bangunan kerajaan akibat beberapa siri gempa bumi yang berlaku di daerah ini sejak 24 Ogos lalu menelan kos sebanyak RM550,000 bagi tujuan pembaikan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja baik pulih berkenaan perlu dilakukan segera selewat-lewatnya sebelum akhir tahun ini.

“Antara bangunan yang terkesan adalah Hospital Segamat, Klinik Kesihatan (KK) Segamat, Bandar Putra Segamat, kuarters kesihatan Batu Anam, Klinik Desa Kampung Jabi, kuarters Polis Daerah Segamat, Pejabat Kadi Daerah Segamat, kuarters negeri Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kolej Komuniti Daerah Segamat.

“Selain itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Tengah, SJKC HSA Nan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa dan SK Dato’ Wan Idris juga terkesan.

“Semua bangunan tersebut mengalami kerosakan kecil seperti keretakan permukaan plaster, pepenjuru dinding selain regangan antara panel dinding, regangan antara panel dinding dengan tiang dan rasuk serta regangan antara siling dengan dinding.

“Kos pembaikpulih bangunan-bangunan berkenaan akan ditanggung kementerian yang terlibat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat JKR Daerah Segamat di sini hari ini.

Ahmad berkata, Pasukan Forensik Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur (CKAS) JKR turut melaksanakan pemeriksaan terhadap keselamatan bangunan-bangunan tersebut.

“Bangunan terbabit masih selamat untuk digunakan dan tidak menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna.

“Pengguna bangunan telah diingatkan untuk sentiasa memantau keadaan sekeliling dari masa ke semasa dan melaporkan kepada pihak JKR terdapat sebarang penemuan baru.

“Sebanyak 62 buah rumah penduduk dan dua surau turut mengalami kerosakan namun jumlah kerugian masih belum dikenalpasti,” katanya.

Menurut beliau, pihak JKR melakukan pemeriksaan bangunan dan pemantauan terhadap aset serta jambatan di jalan Persekutuan melibatkan 325 kilometer (KM) dan jalan negeri 242.11 KM.

Ahmad berkata, terdapat 47 jalan negeri, 14 buah jalan Persekutuan dan 10 jalan Persekutuan termasuk dalam radius gempa bumi tetapi tidak terjejas. – UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×