Kerajaan Johor pantau infrastruktur susulan gegaran lemah di Segamat

Kerajaan Johor pantau infrastruktur susulan gegaran lemah di Segamat

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kerajaan Negeri Johor akan terus memantau keadaan jambatan, jalan raya, empangan serta fasiliti utama di daerah ini susulan gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud yang berlaku pada pukul 8.59 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pemantauan rapi akan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Badan Kawalselia Air Negeri Johor (BAKAJ) bagi memastikan semua struktur kekal selamat.

“Pihak Petronas juga diminta menghantar laporan mengenai keadaan aset dan fasiliti mereka yang berada dalam radius terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati, jauhi kawasan atau bangunan tinggi buat sementara waktu, serta peka kepada sebarang arahan pihak berkuasa.

Ujar beliau, keselamatan keluarga dan orang sekeliling harus menjadi keutamaan.

Sebahagian penduduk di daerah ini dan kawasan berhampiran dikejutkan dengan gegaran gempa bumi lemah pada magnitud 3.2 yang berlaku pukul 8.59 pagi tadi.

Gegaran tersebut merupakan yang ketiga berlaku di daerah ini selepas gegaran pertama pada Ahad dengan magnitud 4.1 pada pukul 6.13 pagi sebelum gegaran kedua pukul 9 pagi.

Sementara gegaran berukuran 2.8 magnitud dilaporkan di Yong Peng pada pukul 9 pagi hari yang sama.

Pihak MET Malaysia mengesahkan kejadian gempa bumi lemah pagi ini dan menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat cuaca serta gempa bumi terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mobil MyCuaca dan media sosial rasmi Jabatan serta menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×