ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri Johor membentangkan Belanjawan 2026 dengan hasil negeri diunjurkan mencecah RM2.55 bilion.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, belanjawan itu merupakan belanjawan lebihaN (surplus) RM4.45 juta yang berteraskan prinsip amanah dan kesejahteraan rakyat, mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab sosial.
“Setiap sen hasil negeri akan dibelanjakan secara berfokus, telus dan memberi manfaat langsung kepada Bangsa Johor.
“Keutamaan diberikan kepada sektor-sektor yang menyentuh kepentingan rakyat termasuk pendidikan dan TVET, kesihatan, perumahan, infrastruktur luar bandar serta kesejahteraan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Menteri Besar berkata, Belanjawan 2026 bukan sahaja memperkukuh asas ekonomi negeri, tetapi turut menzahirkan nilai tanggungjawab moral dan sosial terhadap rakyat.
“Kerajaan Negeri komited untuk memastikan setiap perbelanjaan memberi pulangan nyata dalam bentuk kesejahteraan, kemajuan dan kemakmuran yang dapat dirasai oleh seluruh Bangsa Johor,” katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata, unjuran hasil negeri berju lah RM2.55 bilion itu menjadikan Johor antara negeri dengan kedudukan fiskal paling kukuh di Malaysia.
Peningkatan hasil ini melangkaui unjuran asal yang dibentangkan dalam Belanjawan Johor 2025, hasil pengurusan ekonomi berhemah serta pelaksanaan dasar pembangunan negeri yang berimpak tinggi.
“Johor kini berada di landasan kukuh dengan hasil negeri mencecah RM2.5 bilion, disokong oleh peningkatan kutipan zakat, hasil pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) serta keuntungan GLC-GLC negeri,” katanya. – UTUSAN










