KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun bersedia bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) sekiranya diberikan peluang kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Rina yang juga Bendahari Agung Bersatu berkata, beliau tidak pernah mendesak atau menetapkan kerusi tertentu.
“Saya serah kepada kepimpinan parti sama ada di Sepang, di tempat lain atau bagaimana sekali pun. Yang penting, saya terus berkhidmat untuk rakyat melalui parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Rina kecundang di kerusi Parlimen Sepang selepas tewas kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu dalam pertembungan tiga penjuru.
Beliau pertama kali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di kerusi Parlimen Titiwangsa dan berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) ketika itu yang meletakkan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai calon.
Rina berkata, sebaliknya keutamaan ketika ini adalah memperkukuh jentera Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU16, bukannya soal bertanding.
“ Kalau kita tidak perkukuh PN, bagaimana kita mahu menang? Soal bertanding, saya serahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan. Kalau Presiden arahkan bertanding, saya akur,” katanya.
Rina berkata, meskipun kurang menonjol sejak kebelakangan ini, beliau masih aktif menjalankan program-program kebajikan seperti biasa, termasuk membabitkan golongan wanita dan ibu tunggal.
“Perkembangan saya sama seperti dahulu. Program-program kebajikan masih dijalankan macam biasa kerana itu sudah sebati dengan diri saya. Cuma saya tidak terlalu aktif di media sosial. Jadi nampak seperti malap, tetapi kerja tetap diteruskan, cuma lebih banyak dilakukan di belakang tabir,” katanya.-UTUSAN










