GEORGE TOWN : Lima anggota polis termasuk seorang pegawai kanan ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM9,000 sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki motosikal curi.
Menurut sumber, kelima-lima suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan umur antara 20 hingga 40-an itu telah ditahan antara pukul 2 hingga 5 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, di sini.
“Siasatan awal mendapati, kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada Jumaat lalu dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Seberang Perai.
“Salah seorang daripada suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah secara tunai daripada seorang individu yang merupakan pemilik bengkel motosikal yang terlibat di dalam operasi tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tambahnya, kesemua suspek akan ditahan 24 jam sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM.-UTUSAN










