Rakaman keterangan Shafie ditayang di mahkamah

Rakaman keterangan Shafie ditayang di mahkamah

KOMPLEKS MAHKAMAH KOTA KINABALU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Rakaman kenyataan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang didakwa menghina mahkamah berhubung inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir ditayang di Mahkamah Koroner di sini semalam.

Perkara itu dimaklumkan peguam Azhier Farhan Arisin yang mewakili salah seorang pelajar yang didakwa mencela Zara Qairina.

Katanya, semua pihak yang terlibat termasuk peguam mewakili keluarga Zara Qairina tidak membuat sebarang bantahan terhadap permohonan yang dibuat oleh seorang lagi peguam pelajar, Datuk Ram Singh

Terdahulu, sebelum salah seorang saksi kanak-kanak mula memberikan keterangan, Koroner Amir Shah Amir Hassan mengeluarkan surat tunjuk sebab kerana menghina mahkamah kepada Mohd. Shafie atas kenyataan yang dibuat berhubung inkues kematian Zara Qairina.

Mohd. Shafie didakwa telah mengeluarkan kenyataan antara lain menyatakan kematian Zara Qairina adalah satu pembunuhan dan mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik dalam satu majlis di Sandakan, Sabah.

Koroner mengeluarkan notis tersebut selepas semua pihak yang terlibat termasuk Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Permohonan tersebut dibuat oleh Ram yang merupakan salah seorang peguam mewakili Pelajar A pada prosiding yang dijalankan secara tertutup semalam.

Ram ketika ditemui media memberitahu, Koroner meme­rintahkan agar notis itu dikeluarkan oleh pegawai pengendali semalam dan perlu diserahkan kepada Mohd. Shafie secepat mungkin.

“Apa yang dinyatakan oleh Mohd. Shafie yang dirakam pada satu majlis makan malam, Jumaat lalu di Karamunting, Sandakan pada asasnya adalah satu penghinaan mahkamah.

“Koroner dan Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan di mahkamah dan media bahawa mana-mana pihak, tidak kira orang awam dan ahli politik dilarang daripada mengambil tindakan yang boleh mengganggu perjalanan inkues,” kata Ram.

Pada Jumaat lalu, prosiding inkues terpaksa ditangguhkan selepas Mahkamah koroner dimaklumkan mengenai kebocoran maklumat mengenai Pelajar A termasuk alamat tempat tinggalnya.

“Kenyataan yang dibuat oleh Mohd. Shafie yang memberi gambaran bahawa kematian Zara Qairina adalah satu kes bunuh akan mengganggu saksi kanak-kanak dan boleh menimbulkan keresahan dalam kala­ngan mereka,” kata peguam itu.

Mohd. Shafie merupakan individu kedua yang dikenakan notis tunjuk sebab kerana menghina mahkamah berkaitan dengan inkues kematian remaja terbabit.

Pada 10 September lalu, Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan notis serupa terhadap aktivis, Che Muna Din atau lebih dikenali sebagai Mona Din yang dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya mempertikaikan keterangan Pakar Patologi Forensik, Hospital Queen Elizabeth di sini, Dr Jessie Hiu.

Sementara itu, pelajar A, salah seorang remaja yang sebelum ini didakwa atas tuduhan mengeluarkan kenyataan mencela Zara Qairina akan menyambung keterangannya di Mahkamah Koroner, semalam.

Pelajar terbabit disoal oleh peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu kepada Zara Qairina, Noraidah Lamat.

Bagaimanapun, intipati kete­rangan Pelajar A tidak didedahkan ekoran remaja bawah umur itu dilindungi Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan media tidak boleh mendedahkan nama, alamat, institusi pendidikan atau apa-apa butiran mana-mana kanak-kanak; tidak kira saksi, mangsa atau tertuduh, yang mungkin membolehkan kanak-kanak tersebut dikenal pasti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN