Projek naiktaraf Lapangan Terbang Tawau siap menjelang 2028

Projek naiktaraf Lapangan Terbang Tawau siap menjelang 2028

Anthony (tengah) bersama para tetamu kenamaan menyempurnakan upacara gimik perasmian majlis pecah tanah projek menaik taraf Lapangan Terbang Tawau. - GAMBAR/BESSE AISYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Projek menaik taraf Lapangan Terbang Tawau akan dilaksanakan mengikut jadual dalam tempoh tiga tahun dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang 2028.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berimpak tinggi bernilai RM120.9 juta itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memperkukuh jaringan infrastruktur pengangkutan udara khususnya di Sabah.

“Walaupun mengambil sedikit masa, kita komited untuk melaksanakan projek ini dengan baik termasuk proses tender pelantikan kontraktor. Saya yakin ia dapat disiapkan mengikut jadual.

“Projek ini sangat penting kerana Lapangan Terbang Tawau bukan sahaja strategik untuk Sabah, tetapi juga untuk negara,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Lapangan Terbang Tawau di sini, hari ini.

Menurut beliau, projek itu dijangka meningkatkan kapasiti terminal penumpang daripada 1.5 juta kepada 2.5 juta penumpang setahun sekali gus mengatasi masalah kesesakan semasa memandangkan tahun lalu, jumlah pengguna lapangan terbang itu mencecah 1.96 juta orang, melebihi kapasiti sedia ada.

Katanya, antara skop utama projek itu termasuk pembesaran terminal utama dengan penambahan ruang lantai, kawasan daftar masuk, imigresen dan imigresen yang lebih selesa serta mematuhi piawaian antarabangsa.

Selain itu, projek ini turut merangkumi penambahbaikan kemudahan penerbangan seperti pembinaan jambatan udara baharu, apron (kawasan letak) pesawat yang lebih luas, sistem penyaman udara moden serta naik taraf sistem teknologi maklumat berkaitan perkhidmatan penerbangan.

“Bagi meningkatkan keselesaan pengguna, projek ini juga akan menyediakan kemudahan moden penumpang merangkumi penambahan kaunter daftar masuk, ruang tuntutan bagasi, kawasan komersial, selain kemudahan awam seperti tandas dan surau.

Anthony Loke turut menekankan bahawa identiti tempatan akan diserap dalam reka bentuk terminal baharu, dengan menampilkan elemen seni dan budaya masyarakat Sabah, khususnya Tawau.

Beliau berkata, penaiktarafan lapangan terbang ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada penumpang, malah membuka ruang lebih besar kepada sektor pelancongan dan perdagangan.

“Tawau adalah gateway kepada pelancongan antarabangsa, terutamanya ke pulau-pulau terkenal seperti Sipadan. Selain penumpang, komponen kargo juga penting kerana Tawau kaya dengan hasil laut dan produk perikanan yang berpotensi dieksport,” katanya.

Mengenai status antarabangsa, Anthony menjelaskan bahawa keupayaan lapangan terbang bukan hanya ditentukan oleh gelaran, sebaliknya melalui kemampuan menerima penerbangan antarabangsa.

“Walaupun statusnya bukan antarabangsa, yang penting penerbangan luar boleh mendarat di sini. Antara komponen yang akan dilaksanakan ialah pemisahan penumpang antarabangsa dan domestik serta kemudahan imigresen, sejajar dengan piawaian antarabangsa,” jelas beliau.

Anthony memberi jaminan operasi harian lapangan terbang tidak akan terganggu sepanjang tempoh pembinaan kerana ia akan dilaksanakan secara berfasa.

“Terminal mesti terus beroperasi, tidak boleh ditutup tiga tahun. Pihak kontraktor perlu merancang jadual pembinaan tanpa menjejaskan operasi penerbangan,” katanya.

Beliau optimis projek ini akan menjadi pemangkin penting kepada pembangunan ekonomi Tawau, termasuk sektor pelancongan, maritim dan eksport hasil laut, seiring matlamat Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN