BESUT: Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut di sini, melakar pencapaian cemerlang apabila membangunkan tiga projek berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) yang membantu usahawan seluruh negara memperkukuh pemasaran produk dan perkhidmatan secara digital.
Ketiga-tiga projek tersebut dibangunkan Jabatan Komputer institusi berkenaan dengan tujuan memudahkan usahawan tempatan menembusi pasaran lebih luas, menjimatkan kos dan meningkatkan keberkesanan operasi perniagaan.
Pengarah IKM Besut, Ir. Abdul Athar Ibrahim berkata, antara projek inovasi itu ialah Cloud-Hosted Instant Web Deployment System, iaitu sistem pintar yang mampu menghasilkan laman web secara automatik hanya dengan memuat naik katalog atau bahan promosi.
“Sistem ini menjana subdomain unik untuk dikongsi bersama pelanggan, rakan kongsi atau pelabur sekali gus membolehkan usahawan memasarkan produk dengan pantas dan profesional.
“Selain itu, projek WhatsApp AI Bot dibangunkan untuk memudahkan komunikasi dua hala antara usahawan dan pelanggan tanpa perlu bergantung kepada pekerja sepenuh masa,” katanya ketika ditemui selepas Program Bizlink Netpreneurs@IKM Besut yang dirasmikan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Terengganu, Mohd. Farris Radzuan, di sini.
Program Bizlink itu dijayakan bersama 14 usahawan Mara Terengganu membabitkan kemahiran dagangan digital bersama 165 pelajar tahun akhir IKM Besut berkaitan hubungan dua hala menjayakan pemasaran digital. – UTUSAN










