Program Kampung Angkat Madani perkasa 200 kampung

Program Kampung Angkat Madani perkasa 200 kampung

AMIR Hamzah Azizan ketika meninjau projek menaik taraf jeti nelayan sempena Sesi Libat Urus Kampung Angkat MADANI di Jeti Nelayan Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Program Kampung Angkat Madani menjadi platform baharu kerajaan untuk mengangkat taraf kehidupan masyarakat luar bandar dengan tumpuan diberi kepada 200 kampung terpilih di seluruh negara melalui suntikan dana sebanyak RM200 juta tahun ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan program itu memberi manfaat terus kepada penduduk kampung selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan keseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar.

“Peruntukan yang diberikan adalah asas sahaja, namun, kementerian-kementerian juga boleh menggunakan penjimatan dalaman mereka untuk menambah baik peruntukan yang sedia ada di kampung-kampung angkat Madani,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi libat urus Kampung Angkat Madani di Pulau Betong, di sini hari ini.

Menurut Amir Hamzah, pendekatan berasaskan penjimatan ini penting kerana ia tidak menambah beban fiskal kerajaan, sebaliknya, mengoptimumkan sumber sedia ada untuk kesejahteraan rakyat.

Amir Hamzah berkata, beberapa kementerian telah menunjukkan inisiatif dengan menggunakan lebihan penjimatan masing-masing bagi memastikan projek di kampung angkat mendapat tambahan dana.

Selain itu, katanya, program berkenaan turut diperkuat dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), GLC dan GLIC menyalurkan sumbangan tambahan yang digabungkan dengan peruntukan kerajaan untuk memastikan impak lebih besar sampai kepada masyarakat kampung,” jelasnya.

Beliau berkata, integrasi dana kerajaan dengan sokongan sektor korporat adalah contoh terbaik perkongsian pintar yang mampu mempercepatkan pembangunan luar bandar.

“Maknanya, apa yang sampai kepada kampung itu lebih besar kerana ada tambahan daripada CSR dan penjimatan kementerian,” katanya.

Tambah beliau, Program Kampung Angkat Madani bukan sekadar membina infrastruktur asas, tetapi, ia turut memberi tumpuan kepada pemberdayaan masyarakat setempat agar mereka mampu berdikari serta berdaya saing.

Selain itu, ia juga menekankan aspek pembangunan modal insan, termasuk peluang pendidikan, latihan kemahiran dan sokongan ekonomi untuk generasi muda di kampung,” katanya yang yakin pendekatan menyeluruh itu mampu memberi kesan jangka panjang, sekali gus menjadikan kampung sebagai pemangkin kepada pembangunan negara yang seimbang, inklusif dan mampan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN