Polis tahan lelaki pukul anjing guna besi hingga mati - Utusan Malaysia

Polis tahan lelaki pukul anjing guna besi hingga mati

RAKAMAN video seorang lelaki memukul seekor anjing menggunakan besi di Taman Arkid, Ipoh baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lelaki yang tular memukul seekor anjing peliharaan menggunakan sebatang besi hingga mati telah ditahan polis pada 20 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan itu dilakukan susulan laporan yang dibuat di Balai Polis Menglembu.

“Laporan mengenai kejadian yang dilaporkan berlaku di Taman Arkid itu diterima pada 19 September lalu. Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Setakat ini, suspek berada dalam jaminan polis sehingga kertas siasatan kes dilengkapkan oleh pegawai penyiasat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah terhadap ahli keluarga.

Terdahulu, rakaman video berdurasi satu minit 31 saat itu tular selepas dimuat naik di laman sosial Instagram oleh akaun Malaysian Animal Organization dan mendapat perhatian ramai.

Dalam rakaman tersebut, seorang lelaki yang memegang sebatang besi bertindak mengejar seekor anjing dan memukul haiwan tersebut sehingga berlumuran darah walaupun telah dihalang oleh seorang wanita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN