Polis klasifikasi penemuan mayat dibungkus kain kes bunuh - Utusan Malaysia

Polis klasifikasi penemuan mayat dibungkus kain kes bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis mengklasifikasikan kes penemuan mayat yang dibungkus dengan kain di kawasan sungai berhampiran Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Kerawat di sini semalam sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ia susulan hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati punca kematian mangsa akibat dipukul dengan objek tumpul.

“Mangsa merupakan seorang lelaki dewasa namun identitinya masih belum dikenal pasti. Berdasarkan bedah siasat, mangsa maut akibat dipukul dengan objek tumpul.

“Sehubungan itu, siasatan kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abang Zainal Abidin, tiada tangkapan dibuat setakat ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Media semalam melaporkan berhubung penemuan bungkusan disyaki berisi mayat manusia yang tersangkut pada batang pokok di tepi sungai.

Siasatan bagi penemuan itu sebelum diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan hasil bedah siasat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN