MELAKA: Perpaduan rakyat di negara ini berjaya membantu usaha kerajaan menganjurkan program terbesar dunia seperti sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kejayaan Melaka menjadi tuan rumah WTD dan WTC serta peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) adalah atas kerjasama rakyat berbilang kaum.
Menurutnya, penglibatan 3,224 penari zapin melibatkan pelbagai kaum dan murid sekolah pada peluncuran VM2026 di Encore malam tadi sehingga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) adalah bukti kerjasama tersebut.
Katanya, beliau tidak menolak Malaysia berupaya menganjurkan lebih banyak program terbesar dunia jika mendapat sokongan padu daripada rakyat.
“Kita telah buktikan kepada seluruh dunia bahawa We can do better than any others.
“Kalau rakyat semua bersatu membantu memang kita dapat wujudkan perpaduan dan saya yakin kita berupaya menganjur program bukan di peringkat tempatan saja.
“Saya puji kesungguhan Melaka menjadi tuan rumah WTD dan WTC walaupun pertama kali diadakan di Malaysia kerana kepercayaan UN Tourism,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas menghadiri WTC di sini kelmarin yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
King Sing berkata, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan negeri itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dengan status sebagai tapak warisan dunia UNESCO.
Menurutnya, secara keseluruhannya beliau berpuashati dengan keupayaan kerajaan negeri merealisasikan sebagai tuan rumah dua program terbesar dunia dengan berjaya.
Katanya, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada UN Tourism atas kepercayaan memilih Malaysia dan Melaka menganjurkan sambutan WTD dan WTC tahun ini.
“Saya juga turut berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana kawalan keselamatan ke atas semua delegasi serta agensi-agensi kerajaan yang menjayakan program ini,” ujarnya. – UTUSAN