ALOR SETAR: Syarat menjadi Perdana Menteri daripada Pas yang digariskan mesti berusia 70 tahun ke bawah tidak ditujukan kepada mana-mana individu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sebaliknya syarat itu menggambarkan dirinya dan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin sudah tidak layak menduduki jawatan itu.
“Saya jawab soalan kepada pemberita-pemberita yang umur 70 ke atas macam saya dan Mursyidul Am tak payah dah, cari yang bawah pada itu yang kuat dan gagah.
“Saya tuju ucapan ini pada saya, bukan pada orang yang lain sama ada yang hidup atau mati. Pilih siapa yang ada ilmu, kebijaksanaan dan kekuatan untuk memajukan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di sini, hari ini.
Abdul Hadi memberi jaminan bahawa pemimpin yang akan memerintah Malaysia ialah seorang yang beragama Islam dan Melayu berdasarkan faktor Islam merupakan akidah tanah air dan bangsa yang mendominasi kaum di negara ini.
Beliau meminta ahli Pas untuk tidak mempertikai keputusan dibuat kepimpinan Pusat terutamanya dalam aspek memilih calon pilihan raya dan pelantikan individu ke jawatan utama.
Menurut Abdul Hadi, isu ketaatan atau ‘walak’ masih menjadi masalah besar dalam Pas apabila ada ahli yang mempertikai setiap kali keputusan Pusat memilih individu tertentu.
Beliau meminta calon yang tidak dipilih pada pemilihan tahun ini, memberi kesetiaan mereka kepada pemimpin yang dipilih.
“Ada pemimpin dilantik dalam muktamar dan dilantik oleh Pusat, ada yang dilantik Pusat untuk bertanding pilihan raya dan jadi Menteri Besar. Tapi masalah kesetiaan kepada pemimpin ini sangat besar, ada orang nak pemimpin ikut selera dia, ikut rasa puak dia, kumpulan dia, pandangan dia.
“Pusat mendengar pandangan semua pihak dan melihat secara menyeluruh. Hendak lantik Setiausaha Agung pun yang buat keputusan Pusat, lantikan dalam muktamar ada setuju ada tak, calon yang tak dipilih lepas mesyuarat mesti kena taat kepada yang dipilih,” katanya.
Abdul Hadi turut mengingatkan masalah kesetiaan boleh menjejaskan peluang Pas untuk menang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan menyukarkan parti itu memimpin kerajaan. – UTUSAN










