IPOH: Perak FA melakar kemenangan kedua dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 apabila menewaskan Machan FC 3-0 di padang kompleks bola sepak Perak di Chepor di sini hari ini.
Dua jaringan pada babak pertama perlawanan Ahmad Denial Hakimi, disusuli gol Mohd Amirul Akmal membolehkan anak buah, Shamsul Saad mengutip mata penuh kedua mereka selepas emat perlawanan.
Dengan kemenangan tersebut, Perak mengumpul tujuh mata untuk menghuni kedudukan empat pasukan teratas liga yang disertai 16 pasukan itu.
Manakala Machan FC kekal pada kedudukan tercorot dengan hanya mengutip satu mata.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan pelawat menerima nasib malang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Mohammad Alif Romli dilayangkan kad merah pada minit ke-13.
Kekurangan seorang pemain ternyata menyukarkan Machan FC dan tuan rumah mengambil kesempatan untuk membuka jaringan pada minit ke-20 melalui rembatan leret Ahmad Daniel.
Pemain itu sekali lagi mencipta nama sebagai penjaring apabila bola sepakan lencong dari tepi garisan menewaskan penjaga gol Machan FC, Ahmad Solehin Mamat pada minit ke-37.
Babak kedua tidak banyak perubahan walaupun tuan rumah memperlahankan rentak permainan.
Dalam keghairahan menyerang menyaksikan tuan rumah menghukum pelawat melalui jaringan Amirul Akmal Safarilnizam pada minit akhir perlawanan. – UTUSAN