PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir tahun ini, semalam.
Ini merupakan kali ketiga berturut-turut bank pusat mengekalkan kadar tersebut sejak Julai lalu, selaras dengan unjuran pasaran.
BNM berkata, penunjuk terkini menunjukkan pengembangan yang berterusan dalam
pertumbuhan global.
“Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.
“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri,” katanya dalam kenyataan.
Bank pusat berkata, prospek pertumbuhan akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan, inflasi yang semakin menurun, dasar monetari yang kurang ketat dan dasar fiskal yang memberikan sokongan, walaupun kesan tarif yang lebih tinggi akan terus
mempengaruhi pertumbuhan global.
Menurutnya, penyelesaian lebih banyak rundingan perdagangan sedikit sebanyak meredakan ketidakpastian global dan pertumbuhan kekal berisiko menjadi perlahan disebabkan kemungkinan tarif yang lebih tinggi, terutamanya tarif khusus bagi produk serta ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.
“Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai penilaian dalam pasaran kewangan yang kekal tinggi.
“Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat berikutan kesan tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju,” ujarnya.
Sejak awal tahun sehingga kini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata sebanyak 1.4 peratus dan 1.9 peratus, selain dijangka kekal sederhana tahun depan berikutan keadaan kos global yang terus reda.
Harga komoditi global dijangka kekal sederhana, menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang terkawal.
Sementara itu, inflasi teras pada 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.
Bagi ekonomi Malaysia, BNM berkata, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan pada suku ketiga yang lebih baik daripada jangkaan, didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan serta pengeluaran komoditi yang kembali pulih.
Pada masa hadapan, katanya, permintaan dalam negeri yang berdaya tahan akan terus menyokong pertumbuhan menjelang 2026.
“Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.
“Pengembangan aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Langkah-langkah di bawah Belanjawan 2026 juga akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan,” jelasnya. – UTUSAN










