KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) belum menetapkan harga bagi cukai karbon yang bakal diperkenalkan tahun depan, sekali gus menyangkal laporan cukai tersebut akan dikenakan pada kadar RM15 setiap tan pelepasan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Rang Undang-Undang Perubahan Iklim (RUUPIN) harus dibentangkan terlebih dahulu sebelum kaedah untuk cukai tersebut diketahui.
“Kita kena tahu macam mana nak mengukur baseline (penanda asas) yang ada.
“Jadi buat masa sekarang, MOF belum membuat kajian yang mendalam yang mengatakan berapa kadar cukai karbon dan baseline itu penting untuk diwujudkan terlebih dahulu. Perkara ini akan dibawa oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Antarabangsa Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) 2025 di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara di sini, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab laporan Bloomberg bahawa Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menetapkan cukai karbon yang dirancang ke atas industri pencemar pada kadar permulaan sebanyak RM15 setiap tan pelepasan bagi membendung jejak iklim negara.
Laporan itu berkata, kerajaan telah mengadakan rundingan mengenai cadangannya, yang juga termasuk menubuhkan agensi baharu untuk melaksanakan inisiatif perubahan iklim.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, RUUPIN dijadual akan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Ke-15 tahun depan.
Amir Hamzah berkata, laporan yang dikeluarkan tersebut adalah terlalu awal dan pihaknya tidak pasti dari mana angka tersebut diambil.
Sementara itu, beliau berkata, adalah penting bagi pihaknya untuk menunggu Akta RUUPIN bagi mengetahui penanda aras yang untuk mengenakan cukai.
“Kalau mereka (syarikat) itu mengeluarkan lebih dari penanda aras, maka boleh mengenakan cukai karbon kepada mereka.
“Kemudian, cukai yang dikumpulkan itu akan digunakan untuk adaptasi dan mengurangkan karbon, termasuk dengan inisiatif-inisiatif syarikat yang akan mengurangkan pelepasan
“Jadi, syarikat yang keluarkan lebih, kena bayar dan yang keluarkan ikut penanda atas tak perlu bayar,” ujarnya.
Tambahnya, hasil daripada cukai tersebut akan digunakan untuk mengurangkan jejak karbon di Malaysia.
Jelasnya, setelah melihat kepada garis asas, pihaknya akan menilai industri-industri yang telah dikenal pasti seperti industri besi dan utiliti kerana sektor-sektor ini merupakan antara penyumbang utama pelepasan karbon dalam negara. – UTUSAN










