Perak cadang warta bekas lombong untuk pengeluaran ikan darat - Utusan Malaysia

Perak cadang warta bekas lombong untuk pengeluaran ikan darat

MOHD. Zolkafly Harun pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini. - UTUSANA/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak mempertimbangkan untuk membuat pewartaan tambahan di kawasan bekas-bekas lombong di negeri itu untuk dijadikan pusat pengeluaran perikanan darat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, Perak mempunyai kelebihan dengan kewujudan kawasan bekas lombong, sungai, tasik dan kolam yang diuruskan sebagai sumber penting ternakan dan tangkapan.

“Perancangan pewartaan tambahan di kawasan bekas lombong sedang dipertimbangkan, kerana potensinya yang besar dalam menyumbang kepada pengeluaran ikan air tawar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini ketika menjawab soalan daripada Zafarulazhan Zan (Pas-Kampong Gajah) yang bertanyakan mengenai jumlah keluasan kawasan perikanan di negeri Perak yang telah diwartakan setakat ini.

Mohd. Zolkafly  berkata, sehingga kini keluasan kawasan perikanan yang telah diwartakan di Perak adalah kira-kira 724 hektar melalui pewartaan Zon Industri Akuakultur Taman Kekal Pengeluaran Makanan (ZIA-TKPM), yang khusus bagi aktiviti perikanan darat seperti ternakan ikan dan udang.

“Pewartaan ini merupakan langkah strategik untuk memastikan pengeluaran akuakultur secara besar-besaran, terkawal dan mampan,” katanya.

Tambahnya, bagi memperluaskan lagi kawasan perikanan yang diwartakan, kerajaan negeri bersama Jabatan Perikanan Perak telah mengenal pasti kawasan pesisir pantai.

“Antaranya di Lekir seluas kira-kira 2,000 hektar, yang akan diwartakan sebagai ZIA-TKPM bagi aktiviti ternakan kerang.

“Selain itu, kawasan lain seperti di Bagan Datuk, Kerian dan Larut Matang turut sedang dalam peringkat perancangan pewartaan, khususnya bagi ternakan kerang dengan tujuan meningkatkan pendapatan nelayan, membasmi kemiskinan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat,” katanya.

Jelasnya, selain Zon Industri Akuakultur, kawasan perikanan di negeri Perak juga melibatkan zon tangkapan laut yang diurus berdasarkan dasar perikanan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN