PUTRAJAYA: Pemisahan jawatan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya diyakini mampu memperkukuh kebebasan kehakiman negara sekiranya kedudukan Pendakwa Raya dijamin kebebasan yang sama seperti seorang hakim di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan wujudnya pengaruh tidak wajar seperti yang sering dipersoalkan masyarakat apabila banyak kes digugurkan atas permintaan AG sehingga mencetuskan bantahan awam.
Katanya, pemisahan ini hanya akan bermakna sekiranya tiada lagi pihak yang boleh mengekang kebebasan Pendakwa Raya untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang penyingkiran hanya boleh dibuat melalui tribunal sebagaimana kedudukan seorang hakim.
“Dalam pada itu kuasa sedia ada yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) tidak wajar diputuskan oleh seorang sahaja, keputusan akhir hendaklah diputuskan oleh sebuah Jawatankuasa Pendakwaan yang dipengerusikan oleh Pendakwa Raya selaras dengan amalan tadbir urus yang baik.
“Hanya dengan jaminan sebegini, barulah kebebasan kehakiman dan keadilan benar-benar dapat diperkukuh,” katanya ketika diminta mengulas cadangan kerajaan berhubung reformasi berkenaan, semalam.
Beliau menegaskan, cadangan pemisahan itu bukan baharu kerana telah lama dibangkitkan, namun pelaksanaannya secara berperingkat seperti diumumkan kerajaan perlu diperjelas kepada orang ramai bagi mengelakkan salah faham.
Menurutnya, pindaan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas cadangan tersebut tidak akan menimbulkan masalah besar di Parlimen kerana ketika ini pun, terdapat dua Peguam Cara Negara yang berfungsi di samping AG.
Mengulas mengenai implikasi pemisahan kuasa terhadap kes berprofil tinggi melibatkan tokoh politik, beliau menjelaskan, perkara itu bergantung kepada setiap kes dan sama ada Pendakwa Raya menikmati perlindungan undang-undang daripada sebarang campur tangan yang tidak wajar.
Katanya, langkah ini akan membuka jalan kepada reformasi Perlembagaan yang lebih mendalam dalam sistem tadbir urus negara.
Beliau turut menyuarakan harapan agar pindaan Perlembagaan itu dapat direalisasikan dalam masa terdekat serta cadangan beliau mengenai jaminan kebebasan Pendakwa Raya dapat dipertimbangkan kerajaan.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemisahan jawatan AG dan PP akan dilaksanakan secara berfasa dengan mengambil kira keperluan pindaan Perlembagaan serta struktur pentadbiran yang baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah itu amat penting dalam memastikan integriti sistem perundangan negara dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman. – UTUSAN