Pemilik banglo biru kembali resah

Pemilik banglo biru kembali resah

HAKISAN di bahagian tepi rumah biru di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu semakin membimbangkan pada musim tengkujuh kini. – MINGGUAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Musim tengkujuh yang bakal menjelma tidak lama lagi kembali menimbulkan keresahan kepada pemilik banglo biru di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, Mohd.Yazit Idris apabila sebahagian struktur yang ditambak di bahagian tepi kediamannya kembali terhakis.

Mohd. Yazit, 66, berkata, keadaan itu berlaku ekoran hujan lebat menyebabkan pasir tersebut mengalami hakisan dan dikhuatiri semakin serius apabila musim tengkujuh tiba.

“Air hujan dari jalan utama mengalir ke arah rumah saya dan melalui bahagian tepi yang ditambak menggunakan pasir pantai.

“Boleh nampak pasir sudah terhakis dan membentuk seperti longkang ke pantai,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini.

Mohd. Yazit berkata, sejak dua minggu lalu dia berusaha menambak bahagian belakang dan tepi rumahnya menggunakan batu setinggi dua meter.

Kos hampir RM5,000 dikeluarkan untuk kerja-kerja tersebut dan kini akan menambak bahagian terhakis dengan tanah merah.

“Saya tidak pasti selama ma­na keadaan ini bertahan. Kadangkala kalau ribut, saya dapat rasa gegaran dari dalam rumah,” katanya yang bersendirian di rumah tersebut selepas kematian isteri pada 2019.

Mohd. Yazit turut merayu pihak bertanggungjawab supaya menyiapkan pembinaan struktur pemecah ombak di hadapan rumahnya yang disifatkan sebagai perlindungan utama terhadap hakisan pantai di kawasan itu.

Mei lalu, kontraktor menggunakan kaedah tambakan menggunakan bongkah batu dan ta­nah bukit bagi menguatkan struktur tambakan itu di sekeli­ling banglo berkenaan.

Kerja-kerja menambak pantai turut dilakukan di sepanjang pantai Kampung Tanjung yang terhakis akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda akhir tahun lalu.

Bagaimanapun pada Februari lalu, ombak besar merobohkan pagar menyebabkan halaman kediaman itu pula berisiko runtuh.

Sementara itu awal tahun ini, banglo biru yang dibina dengan kos RM600,000 itu berdepan hakisan teruk hingga tular dalam media sosial.

Pihak berwajib mengambil langkah segera menambat ke­dia­man itu bagi mengelak ia runtuh dibadai ombak.

Ombak besar hujung tahun lalu menenggelamkan lebih 85 meter tanah milik Mohd. Yazit selain sebahagian besar tanah asal kawasan itu juga terhakis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN