KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan memperkasakan ekonomi negara perlu digerakkan seiring dengan usaha memperkukuh budaya, seni dan nilai kemanusiaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua usaha memacu pertumbuhan ekonomi dan memperkasakan budaya, seni dan nilai kemasyarakatan perlu berjalan seiringan.
“Teras kita adalah pemerkasaan ekonomi dan kemampanannya, tetapi yang kita hendak bangunkan itu adalah manusia.
“(Justeru) pemerkasaan ekonomi mestilah selari dengan pemerkasaan budaya. Kita (perlu) kembangkan nilai insan dan manusiawi dan kita tunjukkan kesediaan kita,” katanya ketika merasmikan Festival Budaya Malaysia (FBM) di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, malam ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Mengulas kejayaan pelaksanaan FBM, Anwar menyifatkan festival ini bukan hanya menggambarkan kehebatan Malaysia tetapi mempamerkan kekuatan kepelbagaian budaya di negara ini.
“Yang kita (hendak) tonton dan tunjukkan pada malam ini adalah satu festival kerencaman budaya Malaysia yang kita banggakan.
“Kekuatan kita adalah dalam kepelbagaian. Kehebatan kita ialah kerana kesediaan kita menerima semuanya dari warisan negara, suku, kaum dan pelbagai lagi.
“Semuanya ada kekuatan masing-masing dan mempamerkan keindahan tersendiri,” katanya.
Anwar turut menegaskan, budaya merupakan antara kekuatan utama Malaysia dan perlu diperkasakan bersama nilai hormat serta keterbukaan terhadap kepelbagaian.
“Berbeza daripada pandangan kelompok kecil yang anggap hanya pandangan mereka baik dan tidak bersedia menerima kepelbagaian.
“Negara kita ditegakkan dengan beberapa asas, termasuk Bahasa Melayu yang berperanan memperkuat dan mengikat semua rakyat. Namun, negara ini juga ditegakkan dengan menghormati hak semua kaum menguasai bahasa mereka.
“Dengan perkembangan dunia yang mencabar hari ini, ia menuntut kita menguasai pelbagai bahasa, termasuk bahasa Inggeris,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, teras budaya negara adalah budaya Melayu yang merupakan budaya kebangsaan, namun ia terus dikembangkan dengan merangkul kepelbagaian etnik lain seperti Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Melanau dan Bajau.
“Semua ini kita rangkul sebagai budaya Malaysia, budaya anak Malaysia. Inilah kekuatan sebenar yang akan menjamin keamanan dan kelangsungan negara.
“Kalau kita mula menolak (kepelbagaian) ini, itulah bibit-bibit perpecahan akan bermula,” katanya.










