Pemandu lori beri alasan tiada modal ganti tayar botak

Pemandu lori beri alasan tiada modal ganti tayar botak

JABATAN PENGANGKUTAN JALAN (JPJ)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak mempunyai cukup wang antara alasan diberikan pemandu lori yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas dikesan menggunakan tayar botak dalam Op Gempur Kenderaan Perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil dekat sini malam tadi.

Selain alasan tiada ‘modal’ itu, mereka juga mendakwa terlepas pandang tayar lori mereka itu sudah rosak serta tidak selamat di jalan raya.

Lebih mengejutkan, kenderaan perdagangan berkenaan bukan sahaja beroperasi dengan tayar berisiko pecah malah sebahagiannya turut dikesan tiada cukai jalan sah serta insurans yang tidak diperbaharui.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sikap mengambil mudah aspek keselamatan ini bukan sahaja mendedahkan pemandu dan kelindan kepada bahaya malah mengundang risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

Beliau berkata, JPJ memandang serius perkara itu kerana tayar botak misalnya berpotensi menyebabkan kemalangan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.

“Sepanjang Op Gempur Kenderaan Perdagangan yang bermula 1 September lalu, sebanyak 83 lori dan tujuh bas telah disita di seluruh negara kerana melakukan kesalahan serius.

“Antara kenderaan perdagangan yang ditahan turut didapati tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) lebih lima tahun tetapi masih digunakan di jalan raya selain keadaan tayar yang didapati tidak selamat digunakan,” katanya pada sidang akhbar.

Katanya, selain itu terdapat juga kenderaan perdagangan yang ditahan dipandu oleh warga asing.

“Operasi ini JPJ fokuskan kepada semua dan terdapat pemandu warga asing dan tempatan ditahan malah sebahagian daripadanya adalah pesalah berulang. Bagi kes berulang, tindakan tegas termasuk penyitaan kenderaan diambil bagi memastikan ia tidak lagi berada di jalan tanpa kawalan,” jelasnya.

Muhammad Kifli turut menolak alasan pengusaha bahawa mereka tidak mampu menggantikan tayar baharu kerana kos tinggi.

“Alasan seperti tiada modal tidak boleh diterima, setiap pengusaha wajib memastikan kenderaan mereka benar-benar selamat sebelum beroperasi. Jika tayar didapati rosak teruk, notis akan dikeluarkan dan tayar mesti diganti sebelum kenderaan dibenarkan bergerak semula,” katanya.

Jelas beliau, bagi mendapatkan semula kenderaan yang disita, pengusaha perlu menyelesaikan semua tuntutan termasuk cukai jalan, insurans dan saman tertunggak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×