BUTTERWORTH: Kerajaan Pusat telah mengarahkan beberapa agensi teknikal dan pasukan tindak balas untuk bertindak segera bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih serta menyelamatkan mangsa yang terjejas akibat banjir dan kejadian tanah runtuh di beberapa daerah di Sabah ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara lokasi paling terkesan adalah Sungai Kaiduan, Papar apabila jambatan utama di kawasan itu runtuh sehingga menyebabkan penduduk terputus hubungan.
”Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada tahun lalu telah membekalkan tiga unit stok jambatan keluli bermodular (Bailey Bridge) kepada kerajaan negeri Sabah sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan.
”Bagi mengelakkan gangguan perhubungan berlarutan, saya telah mengarahkan pemasangan segera jambatan Bailey di lokasi tersebut dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Pulau Pinang, hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah sebelum ini memaklumkan, seramai 2,468 mangsa banjir daripada 656 keluarga berada di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) dan satu pusat pemindahan kekal (PPK) di Beaufort setakat pukul 8 pagi hari ini.
Difahamkan, kejadian tanah runtuh yang berlaku sejak Jumaat lalu di Sabah juga telah meragut seramai 13 nyawa hingga ke hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, selain di Papar, JKR Sabah turut menumpukan kerja baik pulih di Jalan Penampang – Tambunan yang terjejas akibat tanah runtuh dengan kerjasama syarikat konsesi.
”Kerja-kerja pembersihan runtuhan, penstabilan cerun serta pembinaan semula infrastruktur kritikal termasuk jambatan gantung dan tembok penahan cerun kini giat dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya.
Beliau berkata, antara usaha segera termasuk pembaikan jalan raya runtuh dan penyediaan laluan alternatif sementara bagi mengelakkan gangguan berpanjangan terhadap pengguna.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut menghargai bantuan yang disalurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat yang menghulurkan barangan keperluan harian, makanan sedia dimakan, selimut, tilam, bantal serta sokongan logistik kepada mangsa.
”Kerjasama pelbagai pihak ini amat penting kerana ia secara tidak langsung meringankan beban mangsa bencana selain mempercepatkan operasi bantuan di kawasan terjejas,” jelasnya.
Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut prihatin dengan keadaan itu apabila menghubunginya semalam untuk menyalurkan peruntukan segera RM10 juta daripada Tabung Bencana Negara yang diuruskan NADMA.
”Dana ini bukan sahaja akan digunakan sebagai bantuan tunai kepada keluarga yang rumah mereka rosak akibat banjir dan tanah runtuh, malah turut membina semula rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal,” katanya.
Beliau berkata, jumlah sebenar keluarga yang layak menerima pembinaan rumah baharu itu akan ditentukan Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah dan Negeri Sabah bagi memastikan bantuan sampai kepada mangsa yang benar-benar memerlukan.
”Ketua Pengarah NADMA kini berada di Sabah bersama Setiausaha Persekutuan Negeri bagi menyelaras pengurusan bencana dengan agensi-agensi tindak balas termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jawatankuasa Bencana Negeri serta Daerah,” katanya. – UTUSAN










