Pelajar SK Banggu mahu contohi keperibadian Rasulullah SAW

Pelajar SK Banggu mahu contohi keperibadian Rasulullah SAW

AHMAD Fahim Wafiyyuddin mengetuai pasukan nasyid dengan lagu Jom Solat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai menganjurkan sambutan Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M baru-baru ini, sempena memperingati dan membuktikan tanda kecintaan terhadap baginda Rasulullah SAW.

Sambutan tersebut diadakan pelbagai peringkat dan institusi sama ada masjid atau surau persatuan penduduk tetapi matlamatnya tetap sama dan satu.

Hal yang sama berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu, Kota Bharu Kelantan apabila majlis yang sama dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam sekolah berkenaan. Program berlangsung penuh bermakna dengan pelbagai pengisian yang memberi kesedaran serta penghayatan mendalam terhadap perjuangan Rasulullah SAW.

Bertemakan “Membangun Ummah Madani”, program berkenaan berjaya menghimpunkan seluruh warga sekolah termasuk murid, guru serta kakitangan dalam usaha menzahirkan rasa cinta, kasih dan rindu yang mendalam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang merupakan rahmat untuk sekalian alam.

 

 

Sambutan ini bukan sekadar acara biasa, malah menjadi wadah untuk memperkukuh kefahaman tentang sirah Baginda serta menyemarakkan semangat umat Islam dalam meneladani akhlak mulia yang telah ditinggalkan oleh Nabi SAW.

Guru Besar SK Banggu, Md. Roslan Mohamad, dalam ucapan perasmiannya berkata, bahawa sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar perhimpunan atau program tahunan yang diulang saban tahun, tetapi ia membawa mesej yang amat besar kepada umat Islam seluruhnya.

PASUKAN nasyid Sekolah Kebangsaan Banggu bersiap sedia membuat persembahan .Menurut beliau, kelahiran Rasulullah SAW adalah peristiwa agung yang bukan sahaja dinanti-nantikan, bahkan menjadi titik perubahan kepada sejarah manusia sejagat.

Baginda diutuskan oleh Allah SWT untuk membawa manusia keluar daripada kegelapan dan kesesatan menuju cahaya iman, kebenaran dan petunjuk.

Katanya lagi, umat Islam perlu sentiasa bersyukur kerana lahirnya Rasulullah SAW telah mengangkat martabat Islam serta menjadikan umatnya dipandang tinggi oleh bangsa lain. Inilah bukti bahawa kelahiran Baginda bukan sahaja memberi rahmat kepada umat Islam, malah kepada seluruh manusia di dunia.

Sementara itu, Penyelaras Program, Hamidah Jusoh berkata, bahawa penganjuran sambutan pada tahun ini lebih memberi tumpuan kepada aspek pembentukan sahsiah murid melalui penghayatan sirah Nabi.

Program tersebut dilihat sebagai platform terbaik untuk mendidik murid agar mencontohi akhlak Rasulullah SAW yang terkenal dengan sifat jujur, amanah, bijaksana serta berhemah tinggi.

Menurut beliau lagi, sambutan tersebut juga menyemai semangat perpaduan dan ukhuwah Islamiah bukan sahaja dalam kalangan murid, malah turut melibatkan para guru, ibu bapa serta seluruh warga sekolah.
Beliau menekankan bahawa pendidikan nilai dan penghayatan sirah sangat penting kerana murid bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik, malah harus memiliki keperibadian yang luhur untuk menjadi insan berguna pada masa hadapan.

Antara aktiviti utama yang dijalankan sepanjang program ialah perarakan selawat yang berlangsung dengan penuh meriah, diiringi laungan selawat beramai-ramai oleh murid dan guru.

Aktiviti berkenaan bukan sahaja menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW, bahkan mendidik murid untuk membiasakan diri dengan amalan berselawat.

Selepas itu, majlis diteruskan dengan persembahan nasyid bertajuk Jom Solat oleh kumpulan nasyid sekolah. Persembahan tersebut bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan mesej dakwah untuk mengingatkan murid tentang kepentingan menjaga solat lima waktu sebagai tiang agama.

Alunan suara merdu para murid yang berpadu dengan iringan muzik sederhana menjadikan persembahan itu mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton. Wajah para murid jelas menunjukkan semangat dan kesungguhan mereka dalam menyampaikan mesej kebaikan melalui seni nasyid, sekali gus menjadikan suasana majlis lebih ceria dan bermakna.

Selain itu, acara kemuncak ialah ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Zakaria Mohamad, Guru Besar SK Sering, Kota Bharu.

Ceramah yang padat dengan mesej penghayatan ini berjaya memberi kesedaran kepada hadirin tentang pentingnya menjadikan Rasulullah SAW sebagai model ikutan dalam kehidupan seharian.

Bagi menutup majlis, para murid mempersembahkan nasyid bertajuk Peace Be Upon You.

Persembahan yang penuh syahdu ini berjaya menambahkan kesan mendalam dalam hati para pendengar, sekali gus melengkapkan suasana majlis yang penuh keinsafan.

Selepas program rasmi, seluruh warga sekolah dijamu dengan hidangan gulai kawah yang dimasak secara gotong-royong. Seekor lembu telah disembelih untuk dijamu kepada seluruh warga sekolah termasuk murid-murid.

Suasana majlis juga bertambah seri dengan pemakaian rasmi yang ditetapkan. Murid lelaki tampil segak dengan baju Melayu lengkap bersongkok, manakala murid perempuan kelihatan anggun berbaju kurung berwarna sedondon.

Guru-guru pula tidak ketinggalan memeriahkan suasana dengan pakaian tradisional yang kemas dan sopan, iaitu guru lelaki berbaju Melayu bersamping, manakala guru perempuan berbaju kurung. Pemakaian beradat ini bukan sahaja memberi imej keseragaman, tetapi turut melambangkan nilai budaya dan jati diri bangsa Melayu yang berteraskan Islam.

Secara keseluruhannya, sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M ini telah mencapai objektif utamanya iaitu mengingatkan warga sekolah tentang pengorbanan Rasulullah SAW dalam menyebarkan Islam.

Program tersebut juga berjaya melahirkan generasi yang menjadikan Baginda sebagai teladan sepanjang zaman. Melalui pelbagai pengisian yang diatur, para murid bukan sahaja mendapat ilmu baharu, malah berpeluang menghayati sirah Rasulullah SAW dengan lebih dekat.

Penganjuran program tersebut dilihat mampu menghidupkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW serta memupuk akhlak mulia dalam diri generasi muda.

Dengan itu, SK Banggu berharap agar sambutan Maulidur Rasul dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan pengisian yang lebih kreatif dan menarik.

Pihak sekolah yakin bahawa melalui program seperti ini, perpaduan ummah dapat diperkukuhkan, ukhuwah Islamiah dapat diperkasakan, dan generasi yang berilmu serta berakhlak mulia dapat dilahirkan.

Akhirnya, diharapkan seluruh warga SK Banggu dapat terus bergerak seiring menuju kecemerlangan dunia dan kebahagiaan akhirat, sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN