Pelajar pilih STEM melonjak

Pelajar pilih STEM melonjak

PELAJAR bergambar kenangan selepas menyertai Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Zon Utara di UiTM Merbok, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar tempatan memasuki aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dalam sektor berteknologi tinggi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kadar semasa menunjukkan kira-kira 50 peratus pelajar telah memilih aliran itu dan jumlah ini meningkat daripada hanya 40 peratus dua tahun lalu.

“Peningkatan ini positif, namun jumlah itu masih belum mencukupi berbanding permintaan industri yang semakin beralih kepada teknologi intensif. Oleh itu, kita mahu lebih ramai pelajar menyertai aliran STEM bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa depan,” katanya selepas merasmikan Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Zon Utara di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, di sini, hari ini.

Menurutnya, Malaysia Techlympics yang merupakan acara tahunan dan program flagship MOSTI berjaya menarik minat pelajar untuk mendekati bidang sains dan teknologi melalui pendekatan kreatif serta pertandingan berasaskan inovasi.

Beliau berkata, sejak 2022, jumlah penyertaan dalam program itu mencecah purata 1.4 juta setahun dan tahun ini sahaja, angka itu telah melonjak kepada lebih 1.7 juta penyertaan.

“Angka ini membuktikan wujud peningkatan minat serta kesedaran dalam kalangan pelajar dan masyarakat mengenai kepentingan ilmu sains dan teknologi dalam kehidupan seharian,” jelasnya.

Beliau berkata, MOSTI percaya pendedahan awal melalui program seumpama ini akan membantu menanam minat yang berterusan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

“Kita mahu anak-anak melihat bidang sains dan teknologi sebagai peluang kerjaya masa depan serta memastikan akses pendidikan ini dinikmati secara saksama termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Tambahnya, MOSTI turut memberi tumpuan kepada penyertaan sekolah luar bandar dan komuniti Orang Asli agar anak-anak di kawasan itu tidak ketinggalan daripada menikmati peluang dan pendedahan sama dalam bidang sains dan teknologi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN