PETALING JAYA: Kejayaan seorang pelajar Orang Asli dari suku Temiar, Gua Musang, Kelantan menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran mencatat sejarah baharu apabila menjadi anak Orang Asli pertama menerima Anugerah Ibnu Qayyim di bawah program Ulul Albab.
Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tok Bachok, Kelantan, Muhammad Izzudin Hasmadi diberi pengiktirafan tersebut selepas berjaya menamatkan hafazan penuh al-Quran pada usia muda.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian berkenaan menjadi kebanggaan bukan sahaja kepada masyarakat Orang Asli, malah kepada seluruh rakyat Malaysia.
Menurut beliau, pencapaian anak muda dari Pos Balar, Gua Musang, Kelantan itu wajar dijadikan inspirasi kepada generasi baharu untuk mencontohi kesungguhan dan keazaman yang ditunjukkan.
“Saya amat berbangga dengan kejayaan adik Izzudin dan percaya bahawa pencapaian ini mampu meniupkan semangat kepada anak-anak Orang Asli serta seluruh anak Malaysia untuk terus gigih berusaha mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi,” katanya dalam Facebook.
Beliau menyatakan usaha memperkasa pendidikan tahfiz perlu terus dipertingkatkan supaya lebih ramai generasi al-Quran dapat dilahirkan pada masa akan datang.
Menurut beliau, kejayaan Muhammad Izzudin dan anak Orang Asli lain sebelum ini perlu dijadikan pencetus semangat dalam memartabatkan pendidikan Islam, khususnya dalam kalangan masyarakat minoriti.
“Semoga kejayaan adik Izzudin dan para hafiz Orang Asli sebelum ini terus menjadi pencetus semangat buat lebih ramai anak Orang Asli khususnya dan juga anak-anak Malaysia amnya untuk mencontohi langkah mulia ini,” katanya.
Ahmad Zahid mendoakan agar Muhammad Izzudin kekal istiqamah dan diberi kekuatan untuk menjadi insan yang memberi manfaat kepada ummah.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan. Syabas dan tahniah saya ucapkan! Semoga adik Izzudin terus istiqamah dan diberi kekuatan untuk menjadi insan yang memberi manfaat kepada ummah. Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN










