Pegawai Petronas diugut, keselamatan LNG Bintulu diperketat

Pegawai Petronas diugut, keselamatan LNG Bintulu diperketat

MOHD. KHALID Ismail (kiri) beramah mesra dengan sebahagian warga polis yang hadir dalam Program Derma Darah Sempena Sambutan Hari Polis ke-218 di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan di semua fasiliti Liquefied Natural Gas (LNG) di sekitar Bintulu diperketatkan selepas pegawai Petronas menerima me­sej ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail ber­kata, pegawai Petronas yang ber­tugas di Bintulu mendakwa ada menerima beberapa mesej ugutan daripada individu tidak dikenali.

“Terdapat pegawai di Petronas menerima beberapa ugutan daripada individu yang tidak dikenali melalui SMS dan teks, jadi setelah beberapa kali mene­rima ugutan tersebut dia membuat laporan polis.

“Justeru kita menasihati se­mua kepada pihak Petronas untuk mempertingkatkan ke­selamatan di fasiliti masing-ma­sing,” katanya selepas merasmikan Program Derma Darah Sempena Sambutan Hari Polis ke-218 di Bukit Aman, semalam.

Susulan itu, menurutnya, pi­hak polis di semua kontinjen-kontinjen turut membantu bagi memastikan fasiliti-fasiliti Petronas dalam keadaan baik.

“Pihak polis di semua kontinjen-kontinjen juga membantu selain perkara-perkara yang ber­­kaitan dapat kita selenggarakan dengan baik dan sempurna demi keselamatan negara,” katanya.

Media semalam melaporkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan amaran bahawa pihaknya telah mene­rima pemakluman berhubung ancaman keselamatan terhadap fasiliti-fasiliti Gas LNG di dalam negara, khususnya di Bintulu.

Menerusi satu kenyataan media, MKN telah mengarahkan semua fasiliti LNG yang ber­operasi di sekitar Bintulu untuk memperketatkan kawalan ke­selamatan serta-merta buat sementara waktu.

“Ini untuk membolehkan pi­hak keselamatan dan pihak bertanggungjawab melaksanakan siasatan segera terhadap ancaman tersebut,” katanya.

MKN turut mengingatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan perkembangan situasi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam kenyataan itu, MKN meminta agensi-agensi kesela­matan negara untuk kekal bersedia berdepan dengan kemungkinan dan telah mengambil langkah-langkah kawalan terhadapan ancaman keselamatan.

Sementara itu, dalam program yang sama, seramai 257 pegawai dan anggota polis menderma darah.

Mohd. Khalid berkata, program tahunan itu dianjurkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi.

Katanya, program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penderma malah membantu masyarakat dan negara keseluruhannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×