PETALING JAYA: Pendedahan mengenai perbelanjaan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang didakwa ditanggung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali gus mengesahkan desas-desus mengenai punca hubungan UMNO dan Pas tidak berpanjangan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau tidak hairan mengapa Pas sanggup meninggalkan Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO untuk bergabung dengan Bersatu dalam menubuhkan PN.
“Memang sejak dahulu lagi ramai yang memberikan maklumat bahawa Bersatu menawarkan bantuan kewangan kepada Pas untuk menghadapi PRU15.
“Justeru apabila bekas Setiausaha Politik, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mendedahkan segala perbelanjaan PN termasuk calon-calon Pas ditanggung Bersatu, ia hanya mengesahkan cakap-cakap pada waktu itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad dilaporkan berkata, Bersatu menanggung kos perbelanjaan PRU15 yang memberi peluang kepada Pas memenangi 43 kerusi Parlimen iaitu satu jumlah besar dalam sejarah parti itu.
Katanya, Pas tidak menghadapi besar dalam perbelanjaan pilihan raya kerana parti itu bertanding menggunakan logo PN.
Semalam, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan terdapat satu parti komponen PN bergantung kepada Pas untuk menghadapi PRU15. – UTUSAN










