PETALING JAYA: Pas terus komited bersama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional (PN) untuk membela nasib rakyat dan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, keputusan Muktamad Tahunan Pas dan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dibuat oleh setiap parti sewajarnya dihormati oleh semua pihak.
Katanya, Pas amat yakin dengan kebersamaan dan kesungguhan seluruh komponen PN, semua mampu menawarkan penyelesaian yang lebih baik, adil dan saksama kepada rakyat Malaysia.
“Perpaduan dalam gabungan ini adalah kekuatan utama bagi memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara, di samping memperkasakan PN sebagai sebuah gabungan politik yang lebih utuh, berprinsip dan berpandangan jauh.
“PN perlu terus mengutamakan isu-isu rakyat yang semakin mencengkam kehidupan seharian mereka.
“Antara yang perlu diberi perhatian ialah pembelaan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), isu adik Zara Qairina, kesan penyesaran subsidi RON95, isu kos sara hidup, serta pelbagai lagi permasalahan yang rakyat amat mengharapkan PN untuk membela mereka,” katanya dalam kenyataan.
Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-71 yang berakhir Selasa meluluskan usul supaya parti itu memimpin PN sebelum PRU16, manakala PAT Bersatu sebelum ini memutuskan bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah calon Perdana Menteri ke-11.
Menurut Idris, namun keputusan yang dibuat oleh setiap parti adalah di peringkat masing-masing dan sewajarnya dihormati oleh semua pihak.
“Pas mengambil maklum bahawa Bersatu telah selesai mengadakan Perhimpunan Agung, manakala Pas juga telah menamatkan Muktamar Tahunan.
“Keputusan yang dibuat oleh setiap parti adalah di peringkat masing-masing dan sewajarnya dihormati oleh semua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, Idris berkata, Pas menjemput semua pihak untuk hadir bersama bagi memperjuangkan nasib rakyat dalam Himpunan Mega Tolak URA akan diadakan pada 4 Oktober ini.-UTUSAN










