Pas persoal lantikan individu pernah terlibat rasuah dalam HDC

Pas persoal lantikan individu pernah terlibat rasuah dalam HDC

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas mempersoalkan komitmen Kerajaan Madani membanteras rasuah selepas didakwa mengekalkan lantikan seorang Ahli Lembaga Pengarah Halal Development Corporation (HDC) yang pernah dijatuhkan hukuman berkaitan kesalahan jenayah rasuah.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, individu terbabit yang juga ketua bahagian sebuah parti dalam komponen kerajaan telah mengaku bersalah di mahkamah bagi satu pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan, manakala lima lagi pertuduhan diambil kira untuk pertimbangan di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

“Beliau dikenakan hukuman denda sebanyak RM1,900 dengan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda, manakala wang berjumlah RM220,000 turut dilucuthakkan kepada kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Ahmad Fadhli, maklumat berhubung kes tersebut boleh dirujuk dalam Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2023 yang memaparkan butiran kes berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan alasan kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) masih mengekalkan individu tersebut sebagai Ahli Lembaga Pengarah HDC walaupun pengakuan bersalah sudah direkodkan.

“Soalan saya ialah kenapa kerajaan masih kekalkan lantikan itu sedangkan sudah terang dan jelas beliau pernah mengaku bersalah untuk sekurang-kurangnya satu pertuduhan?

“Sebab itu, jika ada yang berkata kerajaan ini serius membanteras rasuah, kejutkanlah dia. Sesungguhnya dia sedang bermimpi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN