JOHOR BAHRU: Seramai 83 orang warga Myanmar yang leka berhibur di lapan buah premis hiburan dicekup polis dalam Op Noda yang diadakan serentak di beberapa lokasi di Kulai dan daerah ini, semalam.
Serbuan bermula pukul 10 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam itu melibatkan kawasan Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri, Kulai dan Seri Alam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam serbuan itu, polis menahan individu berusia 22 hingga 47 tahun yang terdiri daripada penjaga premis, tukang masak, pelayan dan pelanggan tanpa dokumen sah.
Katanya, operasi tersebut menyasarkan pusat hiburan dikendalikan oleh warga asing bagi membanteras aktiviti yang melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Op Noda yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor itu juga bagi memastikan premis-premis tersebut tidak digunakan bagi maksud yang menyalahi undang-undang dan sarang PATI.
“Siasatan mendapati semua premis terbabit tidak berlesen selain menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah. Seramai 47 lelaki dan 36 wanita warga Myanmar ditahan dalam operasi itu,” katanya dalam kenyataan.
Ab Rahaman berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai RM5,088, peralatan muzik, komputer, telefon bimbit, buku akaun dan resit jualan.
“Operasi itu bagi membanteras premis hiburan haram yang didalangi warga asing kerana boleh mencetuskan gejala sosial dan ancaman keselamatan.
“Polis Johor tidak akan berkompromi dengan warga asing yang tinggal secara haram atau menyalahgunakan pas di negara ini,” katanya. – UTUSAN










