Muktamar Pas: Pemuda Pas tuntut satu pertiga kerusi PRN Sabah

Muktamar Pas: Pemuda Pas tuntut satu pertiga kerusi PRN Sabah

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemuda Pas menuntut satu pertiga daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk ditandingi calon sayap itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Sabah bukan kerusi tambahan tetapi amanah besar membela rakyat dengan kehadiran calon-calon muda sebagai tanda mahu membina politik baharu yang bersih, solusi dan politik rakyat.

Kata beliau, PRN Sabah tidak boleh dipandang enteng kerana ia bukan sekadar gelanggang tambahan tetapi medan strategik yang akan menentukan hala tuju politik Malaysia.

“Jika kita berjaya menawan hati orang Sabah, kita sedang membuka lembaran baharu politik Malaysia. Sebab itu Pemuda Pas menuntut agar sekurang-kurangnya satu pertiga calon muda diketengahkan dalam PRN Sabah. Ini bukan sekadar angka, tetapi simbol bahawa kita yakin pada anak muda.

“Kehadiran mereka bukan sekadar memanaskan pentas pilihan raya, tetapi latihan tarbiyah politik yang akan melahirkan pemimpin masa depan. Anak muda Sabah mesti diberi ruang untuk berani memimpin kerana di bahu mereka terletak masa depan negeri itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-66 di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.

Afnan Hamimi berkata, Sabah dilihat sebagai gelanggang strategik kerana negeri yang kaya dengan sumber dan indah dengan alam itu masih ketinggalan dalam pembangunan serta peluang.

Menurutnya, Pemuda Pas tidak mahu Sabah terus menjadi wilayah pinggiran, sebaliknya menjadi teras kekuatan perubahan.

“Lihatlah statistik, Sabah antara negeri yang kaya dengan hasil bumi, kelapa sawit, minyak, gas, malah hasil laut yang melimpah. Namun mengapa rakyatnya masih dihimpit kemiskinan.

“Mengapa infrastruktur asasnya masih ketinggalan, mengapa masih ada rumah yang belum ada elektrik, terputus bekalan air, sekolah-sekolahnya daif, hospitalnya kekurangan doktor,” katanya.

Tambahnya, lebih menyedihkan apabila anak muda Sabah berdepan realiti getir berbanding rakan sebaya mereka di semenanjung sehingga ramai berhijrah kerana peluang pekerjaan sempit, tercicir pendidikan akibat kemiskinan serta hilang keyakinan kerana dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat selama puluhan tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN